Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Kedah Bersepadu 2019-2029 Dikaji Semula


ALOR SETAR - Bagi memastikan kelestarian pengurusan lembangan sungai terjamin, Kerajaan negeri Kedah akan menjalankan kajian semula ke atas Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Kedah Bersepadu (IRBM).

Menteri Besarnya Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam akan mengambil masa selama enam bulan bagi mengkajia pelan IRBM bagi tahun 2019 hingga 2029 itu.

"Kajian ini merupakan kajian menyeluruh mengenai pengurusan sumber air dalam usaha untuk mengimbangi keperluan manusia dengan keperluan pemuliharaan sumber bagi memastikan kelestarian sungai dapat dijaga.

"Buat masa ini, kajian akan dilaksanakan di Sungai Kedah dan apabila kajian ini siap nanti kerajaan negeri akan mendapat maklumat bagi membolehkan pengurusan dilaksanakan terhadap sungai-sungai lain yang ada di Kedah," katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.

Terdahulu, beliau melancarkan Insentif Pelancaran Air Percuma, Kajian Semula Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Kedah Bersepadu dan merasmikan sambutan Hari Air Sedunia peringkat negeri bersempena Ekspo Muafakat Kedah.

Ujarnya, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian serius terhadap strategi pengurusan lembangan sungai bagi memastikan ia berkesan dalam pelbagai aspek.

"Kita akan lihat daripada aspek kawal selia sungai, kawalan pelepasan pencemaran dan penubuhan standard kualiti air melalui pemantauan dan penguatkuasaan kualiti air sungai.

"Saya minta semua pihak berganding bahu dan memainkan peranan melalui kerjasama strategik ini dalam membantu merealisasikan program-program yang dirancang kerajaan berkaitan pengurusan air," katanya.

Apa yang dilaporkan, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah akan menanggung sepenuhnya kos bagi menjalankan kajian pelan IRBM yang berjumlah RM200,000 itu.

Sementara itu, beliau berkata pengecualian caj bekalan air bagi penggunaan maksimum 20 meter padu sebulan yang bermula pada Jan lalu dapat menggalakkan rakyat menjimatkan penggunaan air dan menjadikannya sebagai satu amalan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com