Pelan Kumpul Semula Bangkai MH370 Hampir Siap


KUALA LUMPUR - Pelan mengumpulkan semula bangkai pesawat MH370 yang dalam fasa akhir penyediaan, dijangka dimuktamadkan pertengahan bulan ini.

Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman, berkata usaha merangka pelan itu diterajui Malaysia dan dibantu tenaga pakar dari Australia.

Katanya, ia merangkumi persiapan teknikal dan peralatan berkaitan bagi membawa naik bangkai pesawat MH370 yang mungkin berada pada kedalaman menjangkau 6,000 meter di dasar selatan Lautan Hindi.

"Pelan ini pada asalnya dipersetujui pada 2014 apabila kita mengendalikan pencarian di kawasan seluas 160,000 kilometer persegi yang ketika itu diterajui Australia.

"Sekarang pencarian diterajui Malaysia, justeru kita perlu mempertimbangkan usaha merangka pelan untuk mengumpul semula serpihan pesawat dan kotak hitam menerusi kerjasama pelbagai agensi serta tenaga pakar tempatan.

"Tujuan pelan ini adalah supaya gerak kerja selanjutnya berupaya dilaksanakan sekiranya kapal pencarian dasar laut, Seabed Constructor, milik Ocean Infinity Limited menemui pesawat MH370," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri majlis memperingati insiden MH370 yang membawa 239 penumpang dan dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Ahmad Nizar Zolfakar.

Azharuddin berkata, Seabed Constructor yang dilengkapi lapan kapal selam tanpa pemandu (AUV) berkemampuan mengendalikan pencarian dalam tempoh kitaran 26 hari.

Sehubungan itu, katanya, tempoh 90 hari yang diperuntukkan dalam terma kontrak pencarian MH370 ditandatangani Malaysia dengan Ocean Infinity Limited, tidak termasuk perjalanan kembali ke dermaga bagi urusan penyelenggaraan kapal dan pengisian semula keperluan asas.

"Kita jangkakan pencarian MH370 dikendalikan Ocean Infinity selesai sekitar pertengahan Jun atau Julai tahun ini, membabitkan kawasan seluas 25,000 kilometer persegi.

"Oleh itu, masih terlalu awal untuk kita mengulas kemungkinan usaha mencari pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi kali ini berakhir dengan kegagalan.

"Apa sekalipun, waris mangsa akan diutamakan dan kita memaklumkan perkembangan semasa mengenai usaha pencarian.

"Malah, kita menerbitkan laporan mingguan setiap Selasa berdasarkan maklumat dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menyertai misi dengan kapal Seabed Constructor," katanya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dilaporkan berkata, pencarian setakat Khamis lalu, merangkumi keluasan 8,200 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi tidak menemui sebarang petunjuk dikaitkan dengan pesawat MH370.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com