Pelajar PTSB Hasilkan Projek Berkualiti


ALOR SETAR - Majlis penyampaian Anu­ge­rah Keysight i-CIPTA Challenge 2018 berlangsung dengan jayanya di Unit Latihan dan Pendidikan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) di sini, pada Isnin.

Menurut Pengarah program itu, Husai­ni Aza Mohd. Adam, se­ramai 40 pelajar dari Jabatan Ke­ju­ru­teraan Elektrik dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PTSB me­ngambil bahagian dalam pertandingan itu.

“Peserta tampil menunjukkan bakat yang ada dalam pelbagai bidang kemahiran, termasuk bidang pertanian, perkhidmatan, automotif, perubatan, keselamatan dan pertahanan.

“Melalui ilmu yang ada dalam diri setiap pelajar itu, mereka dapat menghasilkan projek yang terbaik serta berkualiti. Bagaimanapun, sebelum melakukannya, peserta membuat latihan terlebih dahulu,” katanya memetik Utusan Online.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyampaian Anugerah Keysight i-CIPTA Challenge 2018 di sini.

Tambahnya, usaha dilakukan, secara tidak langsung dapat mencungkil bakat pelajar di dalam bidang kemahiran itu.

“Hendak melaksanakannya, bukan satu perkara mudah dan mereka yang mempunyai bakat adalah lebih mudah untuk mela­kukan dengan jayanya.

“Melalui program kali pertama ini, ia dapat meningkatkan penge­tahuan, kemahiran dan teknologi terkini dalam kalangan pelajar bagi melahirkan lebih ramai gra­duan terbaik untuk pasaran kerja pada masa akan datang,” kata Husaini Aza.

Bagi tempat pertama anugerah itu adalah melalui Projek Iot Aquaponic dimenangi oleh Haz­wan Haikal Abdul Hamid bersama tiga rakan lain, Lau Jenn Fey, Mohamad Asrulnaim Mohd. Salim dan Mohammad Khairul Nizam Muda yang meraih hadiah wang tunai sebanyak RM3,000.

Sementara tempat kedua, melalui Projek Safety Box With Second Authentic Security Code melibatkan pelajar, Poh Wei Xin, Muhammad Ashraf Che Abdul Ghani, Gordon Cheah Dee Yo dan S. Logieshwaran berjaya menerima hadiah sebanyak RM2,000.

Manakala tempat ketiga pula, melalui Projek Blind Walking Stick dimenangi lagi oleh Hazwan Haikal Abdul Hamid, Lau Jenn Fey, Mohamad Asrulnaim Mohd. Salim dan Mohammad Khairul Nizam Musa dengan menerima hadiah bernilai RM1,000.

Naib Presiden Keysight Technologies Malaysia Sdn. Bhd, Datuk Norashidah Ahmad yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PTSB menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang tersebut.

Turut hadir sama, Pengarah PTSB, Mejar Mohd. Noor Shahudin. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com