PATI Sorok Di Dalam Lubang Sarang Ular Elak Dicekup Di Alor Setar


ALOR SETAR - Bersembunyi di dalam lubang tanah celah pokok buluh dipercayai sarang ular ialah antara cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) meloloskan diri daripada serbuan Jabatan Imigresen Kedah di tapak pembinaan di sini, pagi Selasa.

Dalam serbuan bermula jam 9.30 pagi, seramai 27 PATI warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Kemboja berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Menurut Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin, berkata operasi selama empat jam telah dijalankan 17 anggota penguat kuasa Imigresen bersama 50 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Jelasnya, seramai 63 pekerja asing pelbagai warganegara diperiksa di empat tapak pembinaan berasingan di Pumpong, Jalan Datuk Kumbar dan Alor Mengkudu.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya menahan 27 PATI membabitkan 23 lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berusia antara dua hingga 62 tahun.

"Kami menahan 14 lelaki dan tiga wanita warga Indonesia, Myanmar, Kemboja dan Bangladesh di lokasi pertama, diikuti tiga lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki Bangladesh di lokasi kedua.

"Di lokasi seterusnya, kami menahan dua lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Bangladesh, manakala di lokasi terakhir pula dua lelaki warga Indonesia," katanya memetik BH Online.

Ketika operasi dijalankan, katanya, beberapa PATI turut dikesan bersembunyi di dalam bilik air, selain cuba melarikan diri ke kawasan belukar berdekatan.

Tambah beliau, semua PATI berkenaan didapati melakukan kesalahan tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah, menetap lebih masa di negara ini dan melanggar syarat pas diberikan.

Sejurus tangkapan dibuat, mereka dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com