Pakatan Langsung Tak Terancam Oleh PAS Di Kedah, Kata Mukhriz


ALOR SETAR - Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Dato' Seri Mukhriz Mahathir menegaskan pihaknya langsung tidak rasa terancam terhadap PAS yang berikrar akan bertanding di semua 36 Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri ini.

Malah Mukhriz dalam kenyataannya mendakwa beliau dengan mudah dapat menarik pengundi PAS untuk memberi undi kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

"Kita tak berasa terancam oleh mereka (PAS), dari maklum balas yang kita terima dari ahli PAS sendiri, mereka kata kali ini mereka akan mengundi Pakatan Harapan.

"Dengan demikian kita yakin dengan penuh percaya, bahawa kita akan dapat menarik undi yang secara tradisinya pergi kepada PAS," kata Mukhriz, memetik wawancaranya dengan sebuah portal pro-Pakatan Harapan, baru-baru ini.

Anak bekas Perdana Menteri itu turut mengandaikan dirinya seolah-olah lebih mengenali penyokong akar umbi PAS yang kononnya bermasalah dengan pendirian pucuk pimpinan PAS, khususnya Presiden parti, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

"Kami melihat ahli-ahli akar umbi PAS, walaupun mereka tidak berhijrah ke AMANAH dan masih kekal dalam PAS, mempunyai masalah untuk bersetuju dan memahami apa yang dibuat (Presiden PAS) Abdul Hadi Awang," katanya.

Namun begitu, bagi Exco Kerajaan Negeri, Dato' Suraya Yaacob, beliau melihat bahawa hanya dua buah parti sahaja yang relevan dan akan mendapat tempat di hati orang Kedah, iaitu UMNO dan PAS.

Kata Suraya, beliau lebih bimbangkan kemampuan PAS di negeri ini ekoran parti itu terbukti sebelum ini pernah menewaskan Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-13, pertama kali dalam sejarah politik negeri Kedah.

"Ramai yang bertanya sama ada saya bimbang atau tidak. Sebenarnya saya sangat bimbang. Tapi bukan bimbangkan PAN (Parti Amanah Negara) atau Bunga (Parti Pribumi Bersatu Malaysia - PPBM), tapi saya bimbangkan PAS.

"Jika kita mengenali politik Kedah, maka kita akan dapati majoriti orang Kedah hanya dapat terima  antara UMNO dan PAS sahaja. Maka sebab itu saya lebih serius memberi perhatian kepada PAS," katanya memetik laporan The Star, baru-baru ini.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurrazi sebelum ini menjelaskan bahawa hanya 3 peratus sahaja daripada anggota PAS yang keluar parti dan menyertai PAN, namun menegaskan ia tidak memberi kesan signifikan kepada parti itu.

Beliau turut mengumumkan bahawa Gagasan Sejahtera Kedah akan bertanding di semua 15 kerusi Parlimen dan 36 Dun di Kedah pada PRU ke-14 nanti, serta tidak gentar untuk bertembung dengan Pakatan Harapan yang diketuai Mukhriz. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com