Pakai Cermin Mata Kulit Durian


Melaka: Berkaca mata daripada kulit durian dan bertopikan bakul anyaman berserta beberapa ulas durian antara kelainan ditampilkan seorang peserta yang menyertai Program Perhimpunan Berbasikal 1Malaysia anjuran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Banda Hilir di sini, pada Ahad.

Menambah keunikan, basikal model Schwinn Stingray Chopper yang ditunggang C Kelle, 55, dari Selangor turut diubah suai seakan motosikal Harley-Davidson, menjadikan kelibatnya sentiasa mencuri perhatian peserta lain.

“Saya menyertai 10 program berbasikal dengan pelbagai tema berbeza. Seperti hari ini, saya sengaja bawa tema raja buah.

“Malah, basikal diubah suai di bahagian lampu, tayar serta bahagian lain dengan kos RM2,000.

“Semua ini dibuat demi kepuasan dan menambah keceriaan untuk mereka yang sudi berkongsi hasil kreativiti sama,” katanya.

Berlainan pula bagi seorang kontraktor dari Selangor, Mohd Naim Hashim, 35, yang menyertai acara itu pada saat akhir bersama dua anaknya yang masih kecil.

Menariknya, dia satu-satunya peserta yang berbasikal dengan sambungan Infant Bike Trailer, sekali gus membolehkannya beriadah bersama anaknya.

“Memang tujuan saya ke Melaka bersama keluarga untuk bercuti sempena cuti sekolah. Apabila tahu ada program ini, saya bawa sekali kelengkapan berbasikal.

“Ini kali pertama saya membawa dua anak Alifah, 8, dan Izuddin, 4, menyertai program sebegini dan berbasikal 40 kilometer, selalunya kami beriadah di taman perumahan saja,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah Datuk Zainal Hussin yang melepaskan peserta seawal jam 7 pagi berbangga apabila mendapat penyertaan2,000 peserta yang melebihi jangkauan.

“Program dengan kerjasama The Lions Club Tanjung Bidara itu bertujuan mengumpulkan peminat sukan berbasikal di seluruh negara.

“Menariknya, kami turut mendapat penyertaan dari Filipina, Indonesia, Bangladesh dan Singapura,” katanya.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com