Padi Tumpah Boleh Dikawal


ALOR SETAR - Masalah kehilangan padi lepas tuai atau lebih dikenali sebagai padi tumpah bukanlah isu baharu kepada pesawah, namun ia kurang diberi penekanan.

Bagi rantaian penuaian, masalah padi tumpah dipercayai berlaku akibat keadaan dan pelarasan jentuai yang kurang sempurna.

Secara umumnya, jentuai dalam keadaan baik dan dilaras dengan sempurna berupaya mengurangkan peratus kehilangan padi semasa dituai.

Kebanyakan jentuai digunakan di negara ini menggunakan sistem aliran tangen, manakala jentuai aliran paksi pula baru sahaja diperkenal dan masih belum digunakan secara meluas.

Untuk itu, Mardi membuat kajian kehilangan padi lepas tuai dalam rantaian penuaian demi memperoleh peratus kehilangan lepas tuai bagi kedua-dua sistem jentuai ini dan buat perbandingan.

Pesawah alami masalah padi tumpah

Ketua Jelapang Padi, Jaafar Zakaria berkata, masalah padi tumpah turut dialami pesawah di kawasan Sungai Baru, Kedah pada musim ini.

“Untuk kawasan Sungai Baru, hasil padi amat teruk pada tahun ini berbanding tahun lepas disebabkan masalah padi tumpah.

“Jikalau diikutkan, kualiti padi musim ini lebih baik dan elok. Namun, hasil padi diperoleh sedikit dan berkurangan,” katanya.

Katanya, pesawah hanya mendapat hasil padi sebanyak empat tan metrik berbanding enam tan metrik untuk 0.288 hektar sawah padi.

Jaafar berkata, pesawah terpaksa menanggung kerugian hampir 1 tan per hektar sawah disebabkan masalah tersebut.

Menurutnya, masalah padi tumpah memberi kebimbangan kepada pesawah yang bergantung musim tanaman padi dua kali setahun untuk menyara hidup.

Keadaan jentuai pengaruhi hasil padi

Beliau berkata, masalah dipercayai berpunca daripada kegagalan jentuai untuk beroperasi dengan sempurna.  

“Ada beberapa punca dikenal pasti, antaranya kerosakan jentuai tidak dibaiki demi menjimatkan kos. Ada juga jentuai beroperasi terlalu lama sehingga mencecah usia 30 tahun," katanya.

Katanya, keadaan jentuai sedemikian mengakibatkan ia tidak mampu menuai dengan baik dan padi jatuh, sekali gus mengakibatkan hasil padi berkurangan.

Untuk itu, katanya, lebih banyak mesin jentuai baharu ataupun moden perlu dibawa masuk menggantikan yang lama demi menangani masalah itu.

Antara lain, Jaafar mencadangkan mana-mana pihak berkenaan mewujudkan badan kawal selia jentuai sebelum dibenarkan menuai padi.

“Dengan ini, jentuai yang berkeadaan baik dibenarkan beroperasi. Manakala, yang kurang baik boleh dibaiki terlebih dahulu sebelum bergerak, sekali gus mengelakkan masalah padi tumpah,” katanya.

Atasi masalah serangan padi angin

Katanya, selain padi tumpah yang membimbangkan pesawah, golongan berkenaan turut berdepan serangan padi angin yang merupakan rumpai padi yang tumbuh bersama padi.

Menurutnya, padi angin yang masak awal berbanding padi asli boleh dikenal pasti dengan sifatnya yang mudah relai dan bijinya yang jatuh ke tanah sebelum sempat dituai pesawah.

“Sekarang, padi angin bukan hanya memiliki daya ketahanan lebih, malah ia sukar mati walaupun diberi racun. Lebih membimbangkan, ia mengambil nutrien dari baja vitamin yang diberikan untuk padi," katanya.

Disebabkan itu, kata Jaafar, ramai pesawah menanggung kerugian apabila menerima hasil padi separuh daripada sepatutnya, memandangkan banyak hasil padi jatuh ke tanah.

Namun pun begitu, kata beliau, masalah padi angin dapat ditangani menerusi penyediaan tanah mengikut kaedah betul dari awal sehinggalah akhir sampai menabur.

“Dari awal, pesawah tidak boleh membuat penyediaan tanah sesuka hati mahupun melangkaui mana-mana langkah. Mula-mula, kena potong tunggul jerami, diikuti bakar jerami, membajak dan menabur,” katanya.

Katanya, untuk proses taburan, pesawah boleh menggunakan tiga strategi kawalan, iaitu aktiviti mencedung, tabur terus dalam air dan tabur terus menggunakan sistem pengeluaran Clearfied mengikut kesesuaian masing-masing.

“Disebabkan, daya ketahanan padi angin makin kuat. Bagi saya, tabur terus dalam air paling efektif, berkesan dan menjimatkan untuk memastikan sawah padi bebas padi angin,” katanya.

Terima kasih Bernas

Menurutnya, kewujudan Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) umpama penyelamat kepada pesawah yang berdepan pelbagai cabaran ketika mengusahakan tanaman padi selama ini.

Katanya, Bernas banyak membantu ketika pesawah mengalami masalah padi tumpah dan padi angin yang mempengaruhi hasil padi diusahakan mereka.

"Bernas beri bantuan kewangan dalam bentuk modal awal kepada pesawah untuk digunakan ketika musim menanam padi dan beli padi daripada pesawah termasuklah yang kurang elok," katanya.

Untuk itu, pihaknya mewakili pesawah berterima kasih atas bantuan dihulurkan Bernas dalam membela nasib dan memberi pendapatan kepada petani.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com