Osman Aroff Tetap Setia Bersama UMNO, Najib Walaupun 'Disingkir Oleh Mahathir



Tan Sri Osman Aroff, bekas Menteri Besar Kedah selama 11tahun masih setia bersama UMNO dan menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Razak walaupun beliau 'disingkirkan' oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Semalam,Osman 'kembali" ke Kubang Pasu yang pernah dipimpinnya untuk meraikan Najib pada jamuan makan malam bersama ahli dan pemimpin UMNO/Barisan Nasional di Dewan Wawasan, Jitra. 

Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata, Osman adalah orang yang bertannggungjawab membawa Dr. Mahathir ke Kubang Pasu.

Osman, bekas ADUN Jitra sanggup berkorban untuk menyerahkan jawatan Ketua UMNO bahagian Kubang Pasu kepada Dr. Mahathir yang berpindah dari bahagian Pendang. 

Osman menjawat Timbalan Ketua bahagian sepanjang Dr. Mahathir menjadi Ahli Parlimen Kubang Pasu.

Bekas Menteri Besar itu 'diundurkan' daripada jawatannya pada tahun 1996 untuk membolehkan Tan Sri Sanusi Junid mengambil alih jawatan itu.

Nasib Sanusi juga tidak baik kerana terpaksa  melepas jawatan Menteri Besar  selepas Kedah gagal mempertahankan 8 kerusi Parlimen pada PRU 1999.

Keputusan pilihan raya umum 29 November 1999 menyaksikan BN Kedah kehilangan lapan (dari 15) kerusi Parlimen dan 12 (dari 36) kerusi Dewan Undangan Negeri kepada PAS.

Osman yang kini berusia 78 tahun pernah  menceritakan  bahawa Dr. Mahathir seringkali mengingatkan ahli UMNO:  "... kerana UMNO lah saya (Mahathir) dipilih sebagai Perdana Menteri dan jangan tinggal parti walau apa pun yang berlaku....”

Beliau yang juga Naib Presiden Mubarak Malaysia menjelaskan seluruh orang Melayu yang mendokong UMNO pada masa itu amat menyangjungi kerana semangat kemelayuan Dr. Mahathir yang tinggi.

"Saya cukup sedih bekas ketua saya yang mendapat faedah besar daripada UMNO kini menentang partinya sendiri kerana marahkan seorang pemimpin, " kata Osman semasa Konvensyen UMNO Kedah tidak lama dulu.

Osman bimbang pengaruh UMNO akan terhakis jika tidak diperkasakan semula kerana jika parti hilang kuasa,  orang Melayu akan menjadi seperti " anjing menyalak bukit", tiada siapa yang peduli suara mereka lagi.

Beliau juga pernah melalui peristiwa seperti Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang diminta melepaskan jawatan Menteri Besar apabila hilang kepercayaan oleh pemimpin dan ADUN pada 2016.

Menurut Osman, Dr Mahathir selaku Presiden UMNO ketika itu mahukan beliau meletakkan jawatan walaupun dipertahankan oleh 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah.

Berbeza dengan Mukhriz yang mengambi keputusan menyertai pembangkang untuk menentang UMNO, Osman pula tetap setia kepada parti yang mengangkatnya sebagai Menteri Besar selama 11 tahun. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com