OKU Di Pokok Sena Gigih Kayuh Basikal 3KM Cari Rezeki


ALOR SETAR - Kecacatan fizikal pada kedua kakinya dan sindrom down tidak menjadi penghalang bagi seorang pemuda ini untuk berniaga bagi menampung perbelanjaan keluarganya selama ini.

Mohamad Ridzuan Khalid, 29, berasal dari Kampung Padang Kunyit, Mukim Telaga Mas di Pokok Sena berkata, kekurangan yang dimilikinya itu bukan alasan untuk duduk di rumah sahaja walaupun sudah mendapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

Ujarnya, dia belajar untuk bangkit memperbaiki kekurangannya dengan menjual ais malaysia, kuih dan ikan masin supaya dapat meringankan beban ditanggung ibunya, Rodziah Nik Cha, 53..

“Atas semangat itu penduduk kampung sanggup menghadiahkan basikal roda tiga khas kepada saya supaya dapat keluar berniaga dengan hanya mengayuh menggunakan tangan selepas kaki tidak mampu berkayuh.


“Saya sanggup mengayuh basikal ke kampung berdekatan bermula dari jam 4 petang hingga 7 malam untuk berniaga. Pada hari nat (pasar hari) saya juga turut akan berniaga di situ seperti menjual kuih serta ikan masin dengan hanya mengambil komisen sahaja.

“Bagaimanapun paling laris sekali ialah ais malaysia yang sering dinanti oleh kanak-kanak dengan harga 50 sen sahaja. Pada musim panas ini, ais itu sangat laris dan yang paling membanggakan ialah ibu saya sendiri yang membuatnya,” katanya yang mula berniaga sejak tiga bulan lalu.

Kesukaran hidup yang dihadapi Mohamad Ridzuan memaksanya untuk sehingga tiga kilometer jika tidak ada hari nat untuk masuk menjual ke kampung-kampung.

“Setiap perniagaan ada pasang surutnya. Adakalanya, saya dapat RM5 hingga RM40 dalam tempoh setengah hari. Adakalanya, sekupang pun saya tak dapat. Tapi saya tetap reda.

“Saya tidak ada kemahiran lain lagi dan perniagaan sahaja dapat membantu kami sekeluarga selepas ibu berpisah dengan ayah sejak saya kecil. Saya juga teringin untuk memiliki motosikal sendiri supaya dapat pergi jauh lagi bagi memasarkan barangan yang saya bawa,” kata anak tunggal itu.

Menurut Mohamad Ridzuan, walaupun berstatus OKU, dia akan terus menjaga ibunya dengan pelbagai cara supaya gembira tinggal bersamanya.

Walaupun sibuk dengan perniagaannya setiap hari, Mohamad Ridzuan tidak lupa untuk menghadiri kelas di Persatuan Orang Kurang Upaya Akal di Pinang Jaya, Bukit Pinang setiap pagi dari jam 9 hingga 12 tengah hari.

“Setiap hari selepas berniaga sudah pasti seluruh badan akan sakit kerana penat mengayuh basikal dengan tangan,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com