'Negara Boleh Hancur Kerana Berita Palsu`


KUALA LUMPUR - Negara akan kucar-kacir dan hancur jika penyebaran berita palsu terus berleluasa dan tidak ditangani dengan segera.

Peguam, Adnan Seman menyifatkan, berita palsu mampu menggugat keselamatan negara ke tahap sehingga boleh mencetuskan peperangan seterusnya berupaya menghancurkan sesebuah negara.

"Kita ambil contoh apa yang terjadi kepada Iraq yang hancur gara-gara berita palsu, kononnya negara itu menyimpan senjata api sehingga mencetuskan peperangan dengan Amerika Syarikat (AS) pada 2003.

"Pada zaman sebelum revolusi media sosial ketika itu, sesiapa saja yang membaca berita mengenai berita palsu Iraq pasti akan mempercayainya bulat-bulat seolah-olah ia adalah perkara yang benar, termasuklah Perdana Menteri Britain, Tony Blair, yang turut bersama AS dalam Perang Iraq.

"Selepas tentera Barat tidak menjumpai senjata yang didakwa dimiliki Iraq ketika itu, dengan mudah saja mereka akui ia hanyalah berita palsu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Diskusi UMNO Online: Anda Tanya Kita Jawab bertajuk "Berita Palsu Senjata Pembangkang", yang dikendalikan oleh Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, di sini, semalam.

Diskusi berkenaan turut disertai Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahir Abdul Samad dan Pensyarah Pusat Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nazri.

Adnan berkata, melalui konteks keperluan perundangan dalam menangani berita palsu, ia tidak mempunyai kaitan dengan sentimen politik berikutan undang-undang digubal bagi semua pihak.

"Tiada pihak yang terkecuali jika didapati bersalah dalam sesuatu perkara, termasuk penyebaran berita palsu. Jika ahli Barisan Nasional (BN) didapati bersalah menyebarkan berita palsu, dia juga akan dihukum.

"Kita perlu sedar bahawa penyebaran berita palsu bukan saja memberi impak besar kepada individu, malah juga mendorong ke arah perbalahan kaum," katanya.

Achmad Dzariean berkata, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak mereka mengenai keburukan berita palsu.

"Semuanya bermula dari rumah dan didikan awal boleh membantu golongan muda mempunyai pendirian dalam sesuatu perkara.

"Adalah sangat penting masyarakat kini mampu mempertimbangkan antara perkara yang betul dan salah supaya penyebaran berita palsu dapat ditangani secara menyeluruh," katanya.

Semalam, Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Ia memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun jika disabitkan kesalahan membuat atau menyebarkan berita tidak benar.

RUU itu bukan saja terpakai kepada rakyat Malaysia, malah warga asing jika berita tidak benar yang disebarkan itu adalah mengenai Malaysia atau menyentuh rakyat negara ini.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com