Neelofa Terkilan Permohonan Maaf Dianggap Tidak Ikhlas


SEPANJANG minggu lalu, isu yang menjadi bualan hangat netizen sudah tentulah mengenai tindakan pelakon dan usahawan terkenal, Neelofa melancarkan koleksi hijab terbarunya di sebuah kelab malam di ibu negara.

Tindakannya itu mencetuskan amarah netizen yang merasakan perkara tersebut seperti mempersendakan agama memandangkan pemakaian tudung adalah sinonim dengan agama Islam.

Isu ini turut mendapat perhatian beberapa figura awam dan juga Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri yang turut mengeluarkan surat terbuka buat aktres tersebut.

Setelah mendapat teguran daripada ramai pihak, syarikat pengeluar tudung jenama Naelofar Hijab, NH Prima International Sdn. Bhd. tampil membuat permohonan maaf terbuka daripada pihak mereka.

Keesokan harinya, Neelofa pula mengeluarkan permohonan maaf di laman Instagramnya sambil turut memberikan penjelasan terperinci tentang perkara tersebut.

Bagaimanapun, tindakan Neelofa yang mengambil sedikit masa untuk memohon maaf itu telah menyebabkan orang ramai merasakan dia hanya melakukan perkara tersebut secara terpaksa dan tidak ikhlas.

“Tidak adil bagi mana-mana pihak mempersoalkan keikhlasan saya membuat permohonan maaf. Pihak syarikat sudah membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Saya juga sudah memohon maaf kerana menimbulkan nilai-nilai sentimen berikutan majlis yang saya buat. Saya juga sudah menjelaskan satu-persatu di Instagram mengenai perkara itu,” katanya ketika dihubungi program Melodi yang disiarkan hari ini.


Oleh itu, jelas Neelofa, dia tidak mahu memanjangkan isu berkenaan kerana menyedari terdapat pihak yang akan cuba mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri dalam keadaan ini.

Di dalam wawancara melalui telefon itu juga, Neelofa juga berterima kasih dan mengambil secara positif segala teguran yang diterimanya.

“Saya tidak mahu panjangkan isu ini. Saya tahu dalam keadaan sekarang ramai yang mahu ambil kesempatan untuk menonjolkan diri.

“Namun, saya ikhlas dan ambil setiap komen netizen dari sudut positif. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas segala teguran, nasihat dan kata-kata semangat sepanjang terjadinya perkara ini. Saya hargai keprihatinan anda semua,” ujarnya.

Sebelum ini, Neelofa turut mengucapkan terima kasih serta menghargai teguran Mufti Wilayah Persekutuan mengenai perkara itu juga di laman Instagramnya.

Eloklah kita letakkan sahaja isu ini di belakang kita, Neelofa dan pihaknya juga sudah memohon maaf dan orang ramai juga sudah menyampaikan teguran mereka.

Pihak-pihak yang lain juga selepas ini perlu lebih berhati-hati dalam memilih lokasi tempat menjalankan acara mereka agar tidak menimbulkan fitnah dan syak wasangka. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com