“Neelofa Pinggir Prinsip Rukun Negara Kelima”


PERTUBUHAN Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (SRIKANDI) menggesa orang ramai agar mengambil iktibar daripada isu pelancaran hijab oleh Neelofa di sebuah kelab malam ternama, baru-baru ini.

Perkara berkenaan dianggap serius kerana ia dikatakan melanggar prinsip rukun negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan.

Presiden pertubuhan berkenaan iaitu Datuk Norashikin Abdul Ghani berkata semakin lama prinsip berkenaan dilihat tenggelam dan dilupakan oleh generasi alaf baharu.

Katanya lagi, fenomena itu secara tidak langsung telah menyebabkan tercetusnya golongan yang menghalalkan cara walaupun ia menyalahi agama sekaligus menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan masyarakat.


“Prinsip kesopanan dan kesusilaan itu sewajarnya menjadi amalan hidup rakyat negara ini yang berbilang kaum dan agama sebagai asas keharmonian.

“Bagaimanapun, kini semakin ramai mengeluarkan fatwa sendiri, perlakuan mengikut budaya Barat, penganjuran pesta arak secara terbuka, memasarkan burger babi menggunakan nama orang Islam, penandaan halal sesuka hati serta bermegah mempamerkan kemungkaran di laman sosial.

“Perbuatan sedemikian bukan saja tidak menghormati kesucian agama, malah jelas meminggirkan prinsip Rukun Negara kelima yang diterapkan ke dalam diri ketika sejak awal persekolahan,” katanya dipetik BH Online.


Dalam pada itu, Norashikin juga turut menyelar alasan bajet yang digunakan oleh Neelofa kerena ia sama sekali tidak masuk akal berikutak masih banyak lagi pilihan lokasi yang lebih sesuai untuk mengadakan promosi hijab tersebut.

“Seharusnya beliau lebih peka terhadap isu sedemikian sebelum ia mencetus kemarahan orang ramai dan pertelingkahan antara peminat yang tidak sependapat.

“Saya juga berharap beliau memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan masyarakat negara ini agar ia tidak berulang lagi,” ujarnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com