Nasib 5 Beranak Tinggal Dalam Pondok Usang Di Baling Terbela


NASIB lima beranak yang tinggal di pondok usang kerana kesempitan hidup, Kampung Banggol Enggok, Mukim Bakai, Baling, mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pegawai JKM Baling, Shamsul Izrin Isahak, berkata selepas kehidupan mereka diketengahkan pihak media, pihaknya mengambil inisiatif untuk membela nasib keluarga ini, khususnya anak-anak mereka yang masih bersekolah.

Beliau berkata, pasangan Azni Yatim, 56, dan isterinya, Rokiah Hashim, 44, tinggal bersama tiga anak mereka yang berusia empat sehingga 13 tahun di rumah berkenaan.

"Keadaan tempat tinggal mereka agak daif dengan atap zink dan dinding buluh serta menggunakan bahan terbuang membina rumah.

"Anaknya masih kecil dan yang bersekolah tidak selesa untuk menelaah pelajaran. Jadi kita akan membantu mengikut prosedur yang ditetapkan oleh jabatan demi masa depan anak-anak pasangan ini," katanya ketika melawat keluarga itu.

Shamsul berkata, tiga anak mereka Mohamad Yusri Abdullah, 13, bersekolah di Sekolah Menengah Bakai, Mohamad Deni Hanu, 10, di Sekolah Kebangsaan (SK) Selarung dan Nurain Inshirah, 4, dijaga sepenuh masa di rumah.

Menurutnya hasil temubual, ketiga-tiga beradik itu adalah anak tiri Azni Yatim.

"Keluarga itu juga menggunakan lilin pada waktu malam dan menggunakan air telaga untuk mandi dan membasuh," katanya.

Shamsul Izrin berkata, Rokiah turut mengambil upah mengopek pinang bagi membantu menambah pendapatan keluarga manakala suaminya hanya bekerja kampung.

"Justeru, kita akan membantu mereka untuk memohon bantuan RM300 untuk kanak-kanak ini dari JKM.

"Selain itu, kita juga menyampaikan bantuan segera RM250 dan barangan makanan bagi meringankan beban keluarga itu," katanya.

Sementara itu Rokiah berkata, keluarganya bersyukur dengan keprihatinan pihak JKM ke atas nasib keluarganya.

Beliau berkata, dia bimbang anaknya tercicir dari persekolahan dan berharap permohonan bantuan untuk anak-anaknya akan diluluskan oleh pihak JKM.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com