NAM Bantu Bangun Industri Automotif Yang Dinamik


PUTRAJAYA — Perkongsian antara Naza Corporation Holdings (Naza Group) dan Groupe PSA dari Perancis di kilang Naza Automative Manufacturing (NAM) di Gurun, Kedah, akan membantu membangunkan industri automotif yang dinamik di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata, pakatan strategik itu akan menyaksikan pengenalan model baharu dengan vendor tempatan dapat meningkatkan kemahiran mereka yang akan membawa manfaat kepada industri tempatan serta masyarakat.

Menurutnya, perkongsian itu akan menjadikan NAM sebagai hab pengeluaran automotif bagi Groupe PSA untuk mengembangkan operasinya di pasaran Asean.

“NAM akan menjadi hab eksport bagi negara-negara serantau ini dan juga di luar darinya. NAM diunjur mengeluarkan sebanyak 18,000 unit kereta pada 2019 dan 21,000 unit lagi pada 2020 dengan unjuran hasil masing-masing sebanyak RM724 juta dan RM967 juta.

“Akan ada rangsangan ekonomi di sini kerana perkongsian ini dijangka melahirkan 70 vendor tempatan tambahan dalam tempoh lima tahun akan datang dan mewujudkan tambahan 1,200 peluang pekerjaan di Kedah,” kata Najib.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum menyaksikan majlis permeteraian perjanjian jualan saham dan perjanjian usaha sama antara Naza Group dan Groupe PSA, di sini, hari ini, bagi penubuhan operasi bersama kilang NAM itu.

NAM seterusnya akan mengeluarkan jenama terkemuka dunia seperti Peugeot, Citroen, DS, Opel dan Vauxhall.

Turut hadir pada majlis tersebut termasuklah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Pegawai Ekskeutif Naza Group S.M. Nasarudin S.M. Nasimuddin, Naib Presiden Eksekutif PSA Group (China dan Asia Tenggara) Carlos Gomes dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com