Najib Yakin BN Kekal Di Kubang Pasu Pada PRU14


WALAUPUN Parlimen Kubang Pasu pernah diwakili oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad selama lebih 22 tahun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yakin Barisan Nasional (BN) akan dapat mengekalkan kawasan itu kerana ia merupakan kubu kuat parti..

Beliau juga optimis kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) Jitra dan Bukit Kayu Hitam akan menang dengan majoriti yang lebih besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) seperti mana pencapaian PRU13.

Berucap pada Majlis Jamuan Rakyat dan perjumpaan bersama ahli UMNO Kubang Pasu di Dewan Wawasan,  Najib yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN membidas Dr. Mahathir  yang tidak konsisten dalam perjuangan dan tidak istiqamah dalam parti apabila sanggup menghancurkan parti keramat UMNO demi kepentingan peribadinya.

"Dr Mahathir juga seperti 'cakap tidak serupa bikin' apabila dia sendiri mengkritik habis-habisan pemimpin di bawahnya yang menggantikannya, sedangkan beliau sendiri pernah meminta anggota parti agar sentiasa menyokong pemimpin baharu, kata Najib di hadapan lebih 5,000 ahli UMNO dan komponen BN Kubang Pasu.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharum dan bekas menteri besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff serta Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdizr Khaled yag juga Timbalan Pengerusi UMNO negeri.


Menurut Najib lagi, beliau sendiri pernah mendengar nasihat daripada individu dimaksudkannya (Dr. Mahathir) yang menyatakan seorang bekas pemimpin wajib menyokong pemimpin baharu kerana sewaktu mereka di atas, orang baharu inilah yang sentiasa menyatakan sokongan.

"Itu satu nasihat yang amat baik tetapi hari ini apa yang terjadi? Terus terang saya katakan saya ini tidak kuat dan saya menjadi Perdana Menteri kerana orang UMNO dan BN sokong, angkat serta pertahan saya, " kata Najib.

"Selama 22 tahun dalam susah dan senang, dalam keadaan ribuan orang hendak tolak beliau, saya sebagai Pemuda UMNO pada masa itu, kita-kita inilah yang menjadi wira mempertahankan kepemimpinan beliau sebagai presiden parti dan Perdana Menteri," katanya.

Sementara itu Mohd. Johari  dalam ucapannya menyatakan  bahawa di dewan inilah Dr. Mahathir  mengingatkan ahli UMNO Kubang Pasu  supaya  tidak melupakan UMNO dan Barisan Nasional  kerana tiada parti lain boleh membela Melayu dan kaum lain. 

Namun semuanya kini telah berubah, Dr. Mahathir sendiri yang memimpin parti pembangkang bersama DAP mahu menentang dan menghancurkan UMNO. -  Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com