Najib Tidak Akan Pertaruhkan Negara Dengan Janji Kosong Seperti Pembangkang


Datuk Seri Najib Tun Razaki memberi jaminan bahawa beliau sama sekali tidak akan mempertaruhkan masa depan negara dengan memberikan janji-janji manis seperti mana yang dibuat oleh parti pembangkang.

Menurut beliau, janji yang dibuat oleh kerajaan untuk membangun dan memajukan negara adalah jelas dan mengikut perancangan yang teratur.

Beliau berkata sebagai perdana menteri, beliau memikul harapan kira-kira 30 juta rakyat di negara ini yang mengharapkan kerajaan menjulang masa depan negara ke satu tahap yang lebih tinggi di masa hadapan.

"Saya tidak akan membawa tuan-tuan sekalian kepada satu keadaan di mana saya sanggup pertaruhkan masa depan negara semata-mata nak tabur 'gula-gula' atau pun dedak kepada rakyat kerana saya mempunyai tanggungjawab besar," katanya.

Sebagai pemimpin, Najib menjelaskan  beliau telah membuat pelbagai perancangan jangka panjang untuk pembangunan negara antaranya seperti Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan pada masa yang sama memastikan keperluan asas rakyat diberikan keutamaan.

Najib, yang juga Pengerusi BN, turut memberikan jaminan bahawa Zon Bebas Cukai di Bukit Kayu Hitam akan menjadi agenda pembangunan dalam tempoh lima tahun akan datang lagi, malah ia sudah pun dimulakan melalui penghapusan tol di kawasan itu bermula Januari lalu.

"Tahun hadapan laluan di sana (pintu sempadan Bukit Kayu Hitam) akan dibuka 24 jam dan kawasan 12,000 ekar (Zon Bebas Cukai) merupakan titik permulaan gagasan pembangunan dari utara sampai ke selatan," katanya.

Najib yang dalam rangka lawatan ke Kedah selama dua hari turut mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk pembangunan pasar Jitra dan RM400,000 bagi baik pulih gelanggang tenis.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 5,000 hadirin yang menghadiri Majlis Jamuan Rakyat Bersama Perdana Menteri di Dewan Wawasan, Jitra,  malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta bekas Menteri Besar, Tan Sri Osman Aroff. - Kedahnews.com.


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com