Najib Rasmi UTC Perlis, Kos RM35.5 Juta Siap Dalam Masa 10 Minggu


Rakyat Perlis serta penduduk di utara Kedah kini boleh berurusan dengan agensi kerajaan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perlis yang menawarkan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung.

UTC yang terletak di Kampung Sena hanya mengambil masa 10 minggu sahaja untuk disiapkan memulakan operasi 23 Oktober tahun lepas dan hari ini dirasmikkan oleh  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak..

Najib ketika berucap pada majlis perasmian UTC ke-19 di negara ini memberitahu, kompleks itu yang dibina dengan kos RM35.5 juta merupakan antara konsep revolusi perkhidmatan kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

"Bayangkan, hanya 10 minggu sahaja untuk menyiapkan UTC Perlis ini. Ia satu pencapaian yang cukup membanggakan selain tempatnya yang begitu strategik berdekatan pasar borong dan kawasan lot-lot kedai," kata Perdana Menteri.

Melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), kita gunakan cara yang lebih kreatif dalam menyampaikan perkhidmatan kerajaan. Kita tidak pentingkan output sahaja, tetapi juga hasilnya," katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh hadirin.

Turut hadir pada majlis itu isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor,  Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Sementara itu, kata Perdana Menteri segala usaha kerajaan termasuk penyediaan UTC perlu bersifat inklusif dan tidak meminggirkan mana-mana individu dalam mengecapi nikmat pembangunan dan segala jenis bantuan kerajaan.

"Kita mesti pastikan bahawa setiap wilayah dan negeri, dari Perlis hingga ke Sabah, adalah merupakan negeri-negeri yang mendapat kesan begitu positif dari segi pembangunan dan sebarang program yang kita lakukan," tambahnya.

UTC Perlis itu juga lengkap dengan Klinik 1Malaysiauntuk memberi rawatan kepada rakyat negeri selain Jabatan Imigresen. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com