Najib Jamin Pelajar Keturunan Siam Diberi Peluang Memasuki UiTM


PADANG TERAP - Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberi jaminan pelajar berketurunan Siam di negara ini berpeluang memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) termasuk Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) seperti mana peluang yang diberikan pelajar bumiputera.

Perdana Menteri memberikan jaminan itu ketika berucap pada majlis bersama masyarakat Siam di Kampung Chanding, Padang Terap yang dihadiri lebih 1,000 penduduk, pemimpin masyarakat itu termasuk ketua sami dari Kedah dan Perlis.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Ahli Parlimen Padang Terap yang juga Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang, Datuk Badrol Hisham Hashim dan Adun Pedu, Kama Noriah Ibrahim. 

Hadir bersama adalah Exco Kerajaan Negeri, Dato' Suraya Yaacob (Adun Sungai Tiang), Dato' Tajudin Abdullah (Adun Belantik), Dato' Norsabrina Mohd Noor (Adun Kulim-Bandar Baharu) dan Senator Aknan A/L Ehtook yang mewakili masyarakat Siam di Dewan Negara.

Menurut Najib, kerajaan membuka peluang kepada pelajar daripada semua masyarakat menerusi sistem pendidikan bagi memastikan tiada rakyat di negara terpinggir dalam arus pembangunan yang bermula daripada menerima pendidikan tinggi.

Beliau memberi contoh, kejayaan cemerlang dua pelajar keturunan Siam daam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di negeri ini tahun lepas adalah bukti bahawa usaha kerajaan dalam mengarusperdanakan masyarakat minoriti berkenaan.

Sementara itu, Perdana Menteri juga menyatakan kerajaan  akan terus memberikan kebebasan kepada masyarakat itu untuk menjalankan aktiviti keagamaan dan mempelajari bahasa ibunda mereka.

"Kita telah menyediakan sebanyak RM650,000 setahun untuk tujuan menyediakan kelas bahasa Siam," kata Mohd Najib.

Beliau juga yakin masyarakat keturunan Siam di negara ini akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagaimana yang dilakukan sebelum ini.

"Kita hargai sokongan padu masyarakat Siam selama ini dan sokongan itu juga telah membantu kemenangan BN di Padang Terap, Baling dan Sik serta di tempat lain di negara ini," kata Najib.

Sokongan itu akan membolehkan kerajaan terus menyediakan kemudahan termsuk berbagai bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan untuk penoreh, nelayan dan pesawah kepada masyarakat Siam, kata Peradna Menteri.

"Bila negara ini maju, masyarakat Siam juga akan turut maju," kata Perdana Menteri. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com