Najib Ajak Rakyat Buka Minda Hayati Konsep Majlis Rumah Terbuka


ALOR SETAR – Konsep Majlis Sambutan Rumah Terbuka sememangnya sudah sinonim di negara ini, tetapi alangkah lebih bermakna jika rakyat membuka hati dan minda masing-masing menghayati amalan baik itu.

 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata,dengan itu ia akan menggambarkan masyarakat Malaysia sebagai unik dan istimewa, seterusnya menjadi asas dan kunci kepada perpaduan nasional.

“Kalau hati kita terbuka dan minda kita minda yang boleh berfikir dengan rasional, maka tak ada sebab mengapa Malaysia tidak akan terus jadi sebuah negara yang bukan saja bersatu padu tapi kepelbagaian itu akan merupakan satu punca kekuatan negara kita dan bukanlah satu permasalahan,” katanya.

Perdana Menteri bekata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Tahun Baru Cina 2018 Peringkat Kebangsaan di Dataran Amanjaya Mall di Sungai Petani malam semalam.

Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Jelas Najib, kepelbagaian kaum yang wujud di negara ini harus diterapkan dengan amalan hormat menghormati dan bantu-membantu, namun ia memerlukan satu ‘pengikat’ kepada perpaduan tersebut.

“Apa pengikatnya? Malam ini kita dengar Cik Linda Yee (wakil komuniti tempatan) bercakap fasih dalam Bahasa Kebangsaan, itu dia sebenarnya pengikat, fasih dalam Bahasa Kebangsaan… bagi kaum Tiong Hua, fasih dalam Bahasa Kebangsaan, ibunda, atau dialek sendiri dan mungkin fasih dalam Bahasa Inggeris.

“Kalau Melayu tentu sekali bahasa ibunda dan Bahasa Inggeris dan kalau boleh satu lagi bahasa itu lebih baik… tapi Bahasa Kebangsaan pengikat kepada perpaduan nasional,” katanya.

Najib turut mengimbau kembali sewaktu beliau mula-mula datang ke Sungai Petani sekitar tahun 1970an dimana ketika itu tidak ada satu hotel pun di kawasan itu melainkan hanya rest house yang dijadikan tempat perjumpaan.

“Bagaimanapun segalanya berubah setelah Barisan Nasional memerintah,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com