Mukhriz Bersumpah Kerana Hendakkan Undi Rakyat?


DEMI meraih sokongan pengundi, Pakatan Harapan yang diketuai DAP sanggup bermain dengan sumpah apabila berjanji untuk tidak akan menyeleweng, menyalahgunakan kuasa, mencuri duit rakyat atau mengubah wang haram sekiranya gabungan itu dipilih untuk memerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 kelak.

Sumpah itu keluar daripada mulut Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Taman Gadong Perdana, Melaka malam tadi yang dihadiri kira-kira 300 penduduk.


Begitu berani Bekas Menteri Besar Kedah itu bermain dengan sumpah tatkala status kekayaan beliau turut dipersoalkan kerana keupayaan anak-anak kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad itu menjadi jutawan dalam tempoh yang singkat.

Mukhriz sehingga kini belum memberi penjelasan sumber diperoleh ahli keluarganya untuk dijadikan modal menjalankan perniagaan yang didakwa mencecah angka berbilion ringgit namun, di hadapan 300 penduduk rata-ratanya kaum  Tionghoa, beliau seolah-olah mencabar kerajaan Barisan Nasional (BN) kononnya Pakatan Harapan bebas daripada semua unsur salah laku itu.

Dalam musim menghadapi pilihan raya umum ini, sudah pasti akan berlaku insiden di mana ahli politik akan membuat pelbagai sumpah bagi membenarkan dakwaan mereka.

Mukhriz menjadi salah seorang daripada pemimpin politik yang berbuat demikian untuk tidak langsung 'menjamah' duit rakyat sekiranya Pakatan Harapan berjaya mengambil alih kerajaan pada PRU akan datang.

Selain bersumpah, kebanyakan pemimpin Pakatan Harapan juga dilihat gemar menakut-nakutkan rakyat dalam ceramah mereka kononnya negara ketika ini menghadapi kedudukan ekonomi dan rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

"Kita bekerja atau berniaga akan ada pendapatan bulanan, cukup untuk hantar anak pergi sekolah, beli baju pakaian untuk anak, ada duit sikit untuk melancong tetapi hari ini sedih kita lihat ramai kalangan rakyat kita bermasalah tidak cukup duit.

"Duit yang kita dapat dalam sebulan hanya cukup untuk tiga minggu dan pada minggu terakhir kita terpaksa pinjam duit keluarga atau guna kad kredit, ini satu perkara yang tak sepatutnya berlaku," kata Mukhriz dalam ceramahnya.

Sebagai rakyat, pasti kata-kata itu menusuk ke kalbu kerana mungkin ada kebenarannya malah penulis juga merasai jerit perih kepayahan sebagai orang makan gaji namun tidak patutlah kerajaan pula yang dipersalahkan.

Selepas tamat majlis, sewaktu berjalan ke tempat letak kereta, terpandang sebuah kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire yang dinaiki oleh seorang pemimpin untuk hadir ke program itu. Dalam hati berkata, masih ada rakyat yang tidak `susah' sebenarnya.

Sumber - Utusan.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com