Mukhriz Akan "Ranapkan" Lebih 170,000 Ahli PAS Di Kedah?


ALOR SETAR - Perkembangan PAS Kedah yang kini dikatakan memiliki kekuatan melebihi 170,000 ahli dari segenap pelusuk negeri ini menimbulkan tanda tanya sama ada Pakatan Harapan mampu menyaingi parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Sebelum ini, gembar-gembur propaganda Pakatan Harapan menyatakan keyakinan mereka untuk menakluk Kedah pada pilihan raya kali ini, namun realiti semasa bagai tidak menyebelahi gabungan DAP, PPBM, PAN dan PKR itu.

Sekiranya diambil kira pengiraan matematik mudah, PAS yang pernah mencatat sejarah menjadi parti pertama yang menewaskan Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-12 yang berlangsung pada 2008.

Kedah yang ketika itu terkena tempias 'tsunami politik' negara berjaya dikuasai PAS bersama Pakatan Rakyat dengan kemenangan majoriti mudah, sekaligus menguasai Kerajaan Negeri buat kali pertama.

Namun begitu, penguasaan PAS tidak kekal dan hanya mampu bertahan untuk sepenggal sahaja sebelum ditewaskan semula oleh BN pada PRU ke-13 yang diketuai oleh Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selaku Pengerusi BN Kedah ketika itu.

Berdasarkan perubahan landskap politik negara yang terkini, Pakatan Rakyat telah berkubur dan lahir pula Pakatan Harapan hasil gabungan DAP, PKR dan dua parti serpihan, PPBM dan PAN, tanpa PAS yang kini membentuk Gagasan Sejahtera.

Pada PRU ke-12, PAS berjaya memenangi 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), kerusi terbanyak berbanding DAP yang hanya menang di 1 kerusi Dun, PKR dengan 4 kerusi Dun dan parti Bebas yang menang 1 kerusi Dun.

Sementara itu pada PRU ke-13 yang lalu, PAS berjaya memenangi sebanyak 9 kerusi Dewan , sebelum dua daripadanya "dicuri" oleh PAN dan PPBM, sekaligus kini memiliki sebanyak 7 kerusi Dun di Kedah.

PKR pula kekal dengan 4 kerusi Dun, DAP dengan 2 kerusi Dun, manakala PPBM pula berjaya "mencuri" 1 kerusi daripada BN dan PAS untuk memiliki 2 kerusi Dun, dan PAN pula berbangga dengan 1 kerusi Dun yang "dilarikan" daripada PAS.

Berdasarkan pola pilihan tersebut, PAS masih lagi merupakan parti kedua paling berpengaruh di negeri Kedah dan dijangka mampu merampas kembali beberapa kerusi yang "dilarikan" bekas pemimpin yang "melompat" parti sebelum ini.

Selain itu, ikrar PAS untuk istiqamah bertanding di semua 36 kerusi Dun Kedah pada PRU ke-14 nanti menjanjikan pertempuran tiga penjuru sekaligus mengecilkan peluang kepada Pakatan Harapan yang sebelum ini cuba mengelak pertembungan tersebut.

Sekiranya pertembungan tiga penjuru berlaku di semua 36 Dun di Kedah, dijangka hanya PAS dan BN sahaja yang mampu menguasai keputusan pilihan raya di negeri ini.

Malah ramai penganalisis politik negara sebelum ini mendakwa pertembungan tiga penjuru pada PRU ke-14 nanti akan memberikan kelebihan kepada BN yang dijangka menang dengan majoriti lebih besar sama ada di peringkat Parlimen dan Dun.

Sekiranya Pakatan Harapan tewas teruk dan BN menang pada PRU ke-14 ini, PAS dijangka bakal dipersalahkan oleh Pakatan Harapan dengan alasan kononnya menjadi punca kemenangan BN untuk kali ke-14 dalam sejarah pilihan raya di Malaysia. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com