Muat Naik Foto Dengan Izreen, Jurusolek Dikecam


GARA-GARA memuat naik foto bersama pelakon Izreen Azminda di laman sosial Instagram, jurusolek yang dikenali dengan nama Naomi Larra menerima tempias kecaman netizen.

Sebelum ini Sheila Rusly turut mengalami nasib serupa kerana perkongsian gambarnya dengan Izreen selepas wanita kontroversi itu menutup sementara akaun Instagram miliknya.

Naomi, 33, berkata, dia terkejut apabila ruangan komen pada gambar tersebut dihujani dengan pelbagai kritikan dan kecaman menyelar tindakannya bergambar dengan aktres tersebut.

"Saya terkejut apabila menerima banyak komen berbentuk kecaman daripada netizen yang marahkan saya dan Izreen. Pelik pula apabila saya turut dikecam sedangkan itu hanyalah sekadar perkongsian hasil kerja saya sebagai seorang jurusolek.

"Gambar itu dirakam selepas saya menyolek Izreen untuk rancangan masakan Ketuk-Ketuk Ramadan yang menjalani penggambaran di sebuah pasar raya di Perlis, baru-baru ini.

"Ia menjadi tular apabila ada beberapa blog hiburan menulis mengenai foto saya bersama Izreen itu dan bermula daripada situlah ramai netizen menyerang Instagram peribadi saya iaitu @naomilarra," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Naomi turut meluahkan perasaan terkilan dengan sikap sesetengah individu yang terlalu mudah menjatuhkan hukum kepada orang lain.

Malah, dia turut kecewa dengan tindakan pengguna laman sosial yang tidak berhemah semasa meninggalkan komen dan menjadikan medium tersebut sebagai tempat untuk melepaskan amarah.

"Sejujurnya, saya rasa sedih apabila membaca komen-komen negatif itu, lebih-lebih lagi ia dituturkan oleh orang Melayu kita dan rata-rata mereka masih muda. Bukan Izreen sahaja dikecam, malah saya turut menjadi mangsa hinaan.

"Orang kata berdiam itu lebih baik kerana kita sendiri pun tak tahu apa sebenarnya yang berlaku disebalik isu ini dan kalau nak bagi nasihat gunakanlah bahasa yang sopan," ujarnya.

Bercakap mengenai pertemuannya dengan Izreen pada petang itu, Naomi mendedahkan pelakon drama Bukan Wanita Sempurna itu menitiskan air mata ketika bercerita kontroversi tersebut.

Tambah Naomi, setelah hampir lima tahun mengenali Izreen, aktres tersebut seorang wanita yang menyenangkan dan tidak pernah bercerita buruk mengenai orang lain.

"Semasa di belakang set, Izreen ada bercerita mengenai hal rumah tangganya sehinggakan dia menangis, namun dia masih professional kerana mampu tersenyum dan bergelak di hadapan kamera.

"Bagaimanapun, saya tak mahu ulas lanjut mengenai isu ini kerana ia merupakan masalah dalaman peribadi dan tidak manis untuk bercakap lebih-lebih.

"Izreen seorang wanita yang ceria, kelakar, baik hati dan tidak pernah menyakitkan hati orang lain. Semoga dia tenang menghadapi ujian hidup ini," katanya yang sudah 13 tahun bergelar jurusolek artis.

Kontroversi terhadap Izreen tercetus apabila suaminya iaitu Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude dan isteri pertama, Intan Liana Saleh hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagi proses lafaz cerai pada 28 Februari lalu.

Ude menceraikan Intan yang juga merupakan isteri pertama dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, pada 22 Mac lepas.

Gara-gara peristiwa itu, ramai netizen melahirkan rasa simpati terhadap Intan kerana bakal diceraikan sedangkan dia sudah bersetuju untuk berkongsi kasih ataupun bermadu dengan Izreen.

Ude dan Intan berkahwin pada 1 Mac 2013 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Arish Muqri, 3, serta Ariq Muqri, 1.

Pada November tahun lalu, Izreen mendedahkan sudah berkahwin dengan Ude pada 8 Ogos 2017 secara tertutup dan ia dirahsiakan atas permintaan suaminya itu.

Izreen mempunyai seorang anak lelaki iaitu Muhammad Adrian Umar yang kini berusia lima tahun hasil perkahwinan terdahulunya dengan jurukamera iaitu Muhammad Riza.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com