Mohon Baiki Jalan Runtuh Di Baling


BALING - Penduduk memohon pihak berwajib membaiki segera jalan di Kampung Air Kembal Dun Kupang yang runtuh sejak Ramadan lalu.

Penduduk, Ahmad Ariffin, 58, berkata, sudah dua kali permohonan dibuat namun masih tiada tindakan dilakukan.

Menurutnya, penduduk terpaksa menggunakan jalan alternatif sejauh lebih dua kilometer untuk ke lokasi utama seperti masjid, sekolah dan pekan.

“Kenduri anak saya pada Disember tahun lepas pun terpaksa buat di kilang kopi sejauh dua kilometer dari rumah," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kampung Air Kembal, kelmarin.

Menurutnya, sejumlah RM3,000 telah dibelanjakan penduduk untuk membina titi sendiri.

“Dua kali penduduk terpaksa kumpul duit sesama sendiri untuk baiki, tapi boleh guna sementara saja. Titi tu akhirnya runtuh juga sebab hakisan tanah.

“Bulan puasa pun dah dekat, kami memang perlu titi baru untuk kegunaan ke masjid. Harap dapatlah siap sebelum Ramadan ini,” katanya.

Penduduk, Mohd Asri Mohd Salleh, 47, berkata, ibu bapa terpaksa menghantar anak-anak ke sekolah menggunakan jalan lebih jauh.

“Kalau guna jalan ni nak ke sekolah hanya 10 minit, tapi jalan satu lagi masa diambil lebih 20 minit,” katanya.

Abdul Razak Che Meh, 57, pula berkata, keadaan jalan tidak dibaiki turut mengundang masalah kepada 30 penoreh di kampung lain.

“Lebih kurang 30 penduduk dari Kampung Charok Salang, Kampung Parit Panjang, Kampung Lanai dan Kampung Mengkuang menoreh getah dalam kampung ini.

“Bila jalan tak dibaiki sebahagian lalu jalan jauh, sebahagian lagi parkir motosikal dan berjalan kaki menyeberangi jalan runtuh dengan batang kayu,” katanya.

Tambahnya, jarak perjalanan perlu ditempuhi penoreh yang berjalan kaki ke kebun getah ialah sejauh 500 meter.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lanai, Ahmad Omar bersama Adun Kupang, Datuk Harun Abd Aziz telah meninjau kawasan tersebut pada 29 Januari lalu.

Malah Ahmad sekali lagi hadir meninjau runtuhan tersebut bersama agensi berkaitan, semalam.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com