Mohd Fadil Tak Pernah Guna Bom - Sepupu


JELI - Tragedi letupan bom ikan yang menyebabkan seorang pemuda, Mohd Fadil Abdullah, 27 tahun, di Kampung Chegar Bedil di sini putus pergelangan tangan kanan mengejutkan banyak pihak.

Sepupunya, Mohd Yusoff Abdul Qossim, 30 tahun, berkata Mohd Fadil tidak pernah menggunakan bom ketika melakukan kerja menangkap ikan yang merupakan salah satu pekerjaan sampingannya.

“Saya difahamkan, Fadil yang memiliki kepakaran menangkap ikan dan menjalankan kerja itu sejak beberapa tahun lalu, diminta membantu beberapa individu untuk melakukan kerja itu.

“Dia tak pernah guna bom walaupun memang kerja dia tangkap ikan. Tapi dia buat secara menyelam atau memukat sahaja sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.


Menurutnya, dia terkejut selepas dimaklumkan Mohd Fadil cedera parah selepas bom ikan digunakan meletup dalam kejadian petang Jumaat.

Tambahnya, sebelum kejadian, Mohd Fadil dikatakan menaiki pacuan empat roda bersama beberapa kenalan menuju ke Sungai Suam yang terletak hampir 10 kilometer dari rumahnya di sini.

“Dia dikatakan keluar rumah sekitar jam 11.30 pagi. Kami tak tahu kejadian berlaku jam berapa, tapi kami dapat tahu insiden tersebut kira-kira 4.30 petang.

“Seorang penduduk yang kebetulan ada urusan di Hospital Jeli maklumkan perkara itu bila tahu ada pesakit dari kampung ini, selepas itu barulah keluarga tahu tentang kejadian menimpa mangsa," katanya.

Sementara itu, rakan mangsa,  Khairul Azli Mohamad, 30, mengakui turut terkejut dengan kejadian menimpa Mohd Fadil yang disifatkan sangat baik dan ringan tulang dalam membantu penduduk kampung.

Menurutnya, kejadian itu di luar jangkaan kerana semua penduduk di kawasan berkenaan tahu dia hanya guna cara tradisional untuk menangkap ikan.

Dalam pada itu, jiran mangsa, Abd Halim Hassan, 57, berkata, Mohd Fadil seorang anak yang baik dan dia juga mudah membantu.

“Dia terlalu mudah dengan sesiapa sahaja, ikut orang kampung suruh buat kerja apa pun, dia akan buat. Kejadian menimpanya memang menyedihkan kami," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintenden, Mohd Yusoff Jaafar mengesahkan kejadian.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com