#Mobilepreneur Berita Baik Untuk Usahawan Belia Luar Bandar Di Kedah!


ALOR SETAR - Khabar gembira buat masyarakat luar bandar di negeri Kedah apabila Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan peruntukan lebih RM3 juta untuk menjayakan program usahawan bergerak, Mobilepreneur.

Exco Kerajaan Negeri, Dato' Tajudin Abdullah berkata, lebih 300 buah motorsikal Mobilepreneur telah diagihkan kepada peserta program di seluruh kawasan luar bandar agar dapat dimanfaatkan dalam pelbagai bidang perniagaan.

"Untuk negeri kita saja, lebih RM3 juta diperuntukkan oleh KKLW untuk program ini.

"Sejak dilancarkan pada tahun lalu hingga yang terkini, lebih daripada 300 buah motosikal Mobileprenuer yang telah diagihkan kepada usahawan-usahawan dan golongan belia luar bandar di negeri kita.

"Ia merupakan langkah permulaan yang baik bagi usahawan dan belia luar bandar di negeri kita untuk membantu mereka menjalankan perniagaan dengan lebih baik dan berkesan," katanya kepada Kedahnews.com di sini, petang semalam.

Mengulas lanjut, dengan bantuan motosikal Mobilepreneur, peralatan kemahiran dan kursus yang diberikan kepada peserta program itu, ia akan memudahkan mereka menggerakkan operasi perniagaan serta melayani pelanggan masing-masing.


Bantuan dalam bentuk pakej geran keusahawanan yang bernilai RM10,000 untuk setiap peserta itu bertujuan untuk melahirkan lebih ramai golongan belia luar bandar yang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan mempertingkatkan sosio-ekonomi setempat.

Antara syarat untuk memohon program ini adalah warganegara Malaysia yang berumur 18 hingga 45 tahun yang tinggal di kawasan luar bandar, memiliki lesen motor kelas B2.

Selain itu, pemohon juga perlu memiliki sekurang-kurangnya Sijil Kemahiran Malaysia Tahap I (SKM I), atau Sijil Kemahiran yang diiktiraf Kerajaan Malaysia.

Bagi pemohon yang tidak memiliki SKM, calon yang berminat perlu mempunyai pengalaman melebihi enam bulan dalam bidang berkaitan dan disahkan oleh majikan atau ketua kampung, beserta sijil kursus jangka pendek.

Namun bagi pemohon dalam bidang perkhidmatan automotif, penghawa dinging dan elektrikal, syarat SKM II dikekalkan.

Program Mobilepreneur@KKLW itu menawarkan sebanyak 13 bidang perkhidmatan merangkumi automotif, elektrikal, penghawa dingin, spa dan kecantikan, jahitan, gunting rambut dan dandanan.

Selain itu, bidang perkhidmatan motosikal, kimpalan, komputer, fotografi, elektorik, senggaraan paip dan senggaraan bangunan turut ditawarkan dalam program tersebut.


Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah petang semalam menyempurnakan majlis program penyerahan motosikal Mobilepreneur kepada 149 peserta program wilayah utara.

Dalam majlis itu, seramai 95 usahawan daripada golongan belia luar bandar negeri Kedah telah menerima motosikal Mobilepreneur masing-masing di Ekspo Muafakat Kedah yang berlangsung di perkarangan Stadium Darulaman, di sini. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com