Misteri Kehilangan 4 Ekor Ayam Terjawab, Ular Ditemui Dalam Bilik Air Penduduk Di Kuala Ketil


ALOR SETAR - Misteri kehilangan empat ekor ayam peliharaan seorang lelaki sejak seminggu lalu terjawab apabila dia menemui ular sawa batik di dalam bilik air di rumahnya di Kampung Kuala Temekah, Kuala Ketil di sini, Rabu.

Ketika kejadian jam 2 pagi, ular itu dijumpai sedang membelit seekor ayam betina yang diletakkan di bilik berkenaan.

Pemilik ayam, D Siva Lingga, 36, berkata, sebelum kejadian, dia dan ahli keluarga terjaga daripada tidur selepas mendengar bunyi bising ayam peliharaannya.

Katanya, dia segera memeriksa bilik air sebelum terperanjat apabila mendapati ular sawa berkenaan.

“Saya terus mengarahkan isteri (M Vengatraman, 33) untuk menghubungi talian kecemasan,” katanya ketika dihubungi NSTP, Rabu.

Tambah Siva Lingga, sebelum ini menyangka empat ayam peliharaannya yang hilang itu dicuri.

“Memandangkan ada seekor ibu ayam yang sedang mengeram, saya meletakkan haiwan itu di dalam bilik air rumah bagi mengelakkan ayam itu dicuri,” katanya memetik MyMetro.

Sementara itu, Pegawai APM Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.35 pagi.

Beliau berkata, susulan itu, tiga anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di rumah pengadu tidak lama kemudian, kami terus menangkap ular itu dengan peralatan khas,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com