Misteri Ayam Kerap Ghaib Di Kampung Sungai Petani Terjawab


ALOR SETAR – Misteri yang menghantui Kampung Rusa Taman Kelisa Ria, Sungai Petani ekoran ayam peliharaan mereka kerap ghaib akhirnya terjawab apabila menemui seekor ular sawa yang sedang berehat kekenyangan.

Kakitangan awam, M Sisavan, berkata, pada jam 9 pagi, dia dikejutkan dengan jeritan seorang jirannya yang memaklumkan terjumpa seekor ular sawa berdekatan reban ayam di belakang rumah.

Menurutnya, pemilik reban ayam terbabit sebelum ini tertanya-tanya dan musykil kerana bilangan ayam yang dibela semakin berkurang dan kemudian mengambil keputusan memeriksa di sekitar kawasan berkenaan.

“Terkejut nampak ular sawa, jiran terus jerit panggil saya, kebetulan saya cuti dan balik kampung hari ini, saya pun terus pi tengok reban dia,” katanya.

Menurut Sisavan, mereka mengesyaki ayam hilang menjadi hidangan Sang Batik setelah melihat keadaan reptilia itu yang kekenyangan.

Akibat terlalu kekenyangan, Sang Batil itu hanya tersadai di tempat tersebut dan tidak mampu untuk bergerak.

“Banyak kali kami jumpa ular mai sini sebab ada ayam. Kawasan ini pun agak redup sebab jaraknya kira-kira 20 meter dari belakang rumah,” katanya.

Bertindak diatas penemuan terbabit, dirinya menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), selain turut memanggil penduduk kampung yang berani menangkap haiwan berkenaan sementara menunggu kedatangan APM.

Sementara itu, Pegawai APM Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.02 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian sejurus kemudian.

Menurut beliau, sebaik sampai ke lokasi, pihaknya mendapati orang awam telah menangkap ular tersebut.

Ular sawa seberat 6 kg dan panjang 5.9 meter itu diletakkan di Rumah Haiwan Pusat Kawalan Operasi Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com