Misi Julang Piala Thomas Tak Pernah Padam


ADA kurang dua bulan lagi sebelum pusingan akhir Piala Thomas 2018 di Bangkok, Thailand bermula, iaitu pada 20 hingga 27 Mei depan.

Ini adalah kejohanan yang menjadi fokus utama saya tahun ini. Seperti semua tahu, Piala Thomas adalah kejohanan yang berprestij, ia diibaratkan sebagai Piala Dunia dalam sukan badminton.

Sebagai pemain, sudah pasti saya memasang impian untuk menjulang trofi Piala Thomas bersama rakan sepasukan.

Saya masih ingat lagi ketika berusia 10 tahun dan menonton perlawanan akhir Piala Thomas di antara Malaysia dan Indonesia menerusi siaran langsung di televisyen.

Saya cukup teruja ketika itu apatah lagi Malaysia dinobatkan sebagai juara dan sejak itu, saya memasang impian untuk turut menjulang trofi berkenaan apabila bergelar pemain kebangsaan.

Bagaimanapun, nasib belum menyebelahi kami untuk muncul juara. Saya bersama rakan sepasukan hampir melakukannya pada edisi 2014 di New Delhi apabila kami berjaya melangkah ke pentas final.

Ketika itu, seluruh rakyat Malaysia terkejut dengan pencapaian kami berjaya mara ke final.

Semangat berpasukan tinggi

Saya perlu akui, ia boleh disifatkan salah satu detik indah dalam kerjaya saya sebagai pemain, apatah lagi tiada siapa meletakkan harapan untuk kami mampu melangkah sehingga final pada edisi berkenaan.

Tidak dinafikan, ia sebenarnya adalah peluang terbaik kami untuk menamatkan kemarau sejak kali terakhir Malaysia memenangi Piala Thomas pada 1992 di Kuala Lumpur. Namun, nasib tidak menyebelahi kami apabila tewas 2-3 kepada Jepun dalam aksi final itu.

Walaupun kecewa, kami tetap boleh berbangga kerana tewas dengan semangat melawan yang tinggi. Kami hanya dipisahkan beberapa mata ketika perlawanan penentuan membabitkan perseorangan ketiga.

Apa yang saya boleh kongsikan, betapa kejayaan kami mara ke final pada 2014 itu adalah disebabkan kami mempunyai semangat berpasukan yang tinggi.

Sejak awal lagi saya sudah mengingatkan rakan yang mana kami perlu memegang prinsip 'menang sama-sama, kalah sama-sama'. Saya kagum dengan semangat juang yang ditampilkan ketika itu.

Tiada istilah pemain bintang

Kejohanan berpasukan sangat berbeza berbanding individu. Semua yang dilakukan perlu mengambil kira kepentingan pasukan, senang cerita pasukan perlu menjadi keutamaan.

Apabila semua pemain boleh 'satu kepala', ia akan menjadi lebih mudah untuk menempuh segala halangan.

Lagi satu, tidak kira berapa kejayaan yang kita capai dalam saingan individu, ia tidak lagi boleh diambil kira apabila kita tampil dalam acara berpasukan. Dalam pasukan, semua pemain adalah sama, tiada istilah pemain bintang.

Jangan ada perpecahan dalam pasukan, kerana ia pastinya akan memberi kesan buruk.

Misi kami untuk menjulang Piala Thomas diteruskan pada 2016 di Kunshan, China, tetapi cabaran kami terhenti pada peringkat separuh akhir apabila tewas kepada Denmark 2-3.

Sekali lagi, kami turut mempamerkan semangat juang yang tinggi. Dalam hal ini, saya percaya rezeki belum ada untuk kami.

Kami membawa semangat berpasukan yang tinggi ke Kunshan ketika banyak pihak meramalkan kami akan tersingkir awal.

Kejayaan mara ke separuh akhir pada 2016 boleh dianggap baik berdasarkan barisan pemain yang disenaraikan.

Atas kertas kami bukanlah pasukan yang kuat dan semua orang pun sedar mengenai perkara itu, namun kami buktikan boleh melakar keputusan positif bersandarkan semangat juang dan berpasukan yang tinggi.

Misi tamatkan kemarau kejuaraan

Tahun ini, misi kami akan diteruskan lagi bagi menamatkan kemarau kejuaraan Piala Thomas.

Berdasarkan undian pada Khamis lalu, peluang untuk kami mara ke suku akhir cerah apabila diundi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Russia dan Algeria.

Denmark sudah pasti akan menjadi cabaran utama, terutama dalam persaingan untuk muncul juara kumpulan.

Namun, kami juga tidak boleh memandang rendah kemampuan Russia dan Algeria.

Penting untuk kami muncul juara kumpulan bagi mendapat laluan selesa untuk ke separuh akhir.

Jika kami muncul juara kumpulan, kami akan diletakkan sebagai pasukan pilihan pada undian peringkat suku akhir. Jadi ia memberi peluang yang lebih tinggi ke separuh akhir apabila tidak perlu bertemu pasukan pilihan yang lain.

Siapa pemain yang akan disenaraikan untuk beraksi pada Piala Thomas kali ini belum lagi dimuktamadkan, namun siapa pun yang dipilih, saya berharap akan menunjukkan semangat berpasukan.

Kunci kejayaan sesebuah pasukan itu adalah semangat berpasukan yang tinggi. Kami mungkin tidak kuat, tetapi kami akan berjuang habis-habisan.

Pepatah Melayu ada mengatakan 'alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan'.

Sama seperti perjuangan kami, apabila kami melangkah sahaja ke dalam gelanggang, kami akan berjuang habis-habisan.

Apa juga keputusan yang diraih adalah perkara kedua kerana yang paling penting adalah semangat melawan yang kita tunjukkan.

Penulis ialah Pemain badminton nombor enam dunia

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com