Might Sumbang Jentera Pengumpul Jerami Padi


ALOR SETAR – Kumpulan Industri Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (Might) semalam menyumbangkan traktor dan mesin pembandela, untuk mengumpul jerami padi kepada Pertubuhan Peladang Kawasan Pendang Selatan (PPKPS).

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata sumbangan itu sebagai usaha membantu golongan petani meningkatkan pendapatan mereka secara tahunan menerusi jualan jerami padi yang dapat memanfaatkan hampir 30,000 petani di bawah PPKPS.

“Masalah pembakaran jerami padi juga dapat diatasi,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang Free The Seed (FTS) Sdn Bhd yang merupakan pengeluar produk biodegradasi di sini semalam.

Dalam lawatan itu Nancy turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian pembekalan jerami padi selama 10 tahun antara Pengarah FTS Hamsidi Shaharah dengan Pengerusi Anggota Jemaah Pengarah PPKPS Abdullah Mohamad.

Mengulas tentang perjanjian itu, Nancy berkata PPKPS dilantik FTS bagi mengumpul jerami padi di daerah Pendang Selatan dan jika terdapat keperluan ia boleh diperluaskan ke Pertubuhan Peladang Kawasan di seluruh negeri ini.

Beliau berkata setiap gulung jerami itu FTS akan membayar antara RM130 hingga RM180 kepada PPKPS dan seterusnya dibayar kepada petani.

“Petani akan menjadi pembekal bahan mentah (jerami padi) untuk diproses menjadi produk biodegradasi (bekas pembungkus) dengan penggunaan teknologi bio di kilang FTS berkenaan.

“Produk biodegradasi bakal memberikan alternatif kepada produk berasaskan fosil selari dengan dasar teknologi hijau dan merupakan tunjang utama dalam aspirasi Tranformasi Nasonal 2050 (TN50) yang bakal mencorakkan pembangunan negara,” katanya memetik Bernama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FTS Prof Ramaness Parasuraman berkata jentera yang disumbangkan Might itu membolehkan pengumpulan jerami padi dilaksanakan dengan lebih efektif sekali gus dapat meningkatkan pengeluaran produk yang sentiasa mendapat permintaan tinggi.

”Sebelum ini proses pengumpulan jerami padi dilakukan dengan menyewa jentera dan mesin pembandela daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda ( MADA) dan ia tidak mencukupi,” katanya. – Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com