MCA Kedah Perlu Tumpu Menangi Hati Pengundi Cina, Rampas Kembali Kerusi Pembangkang


UMNO dan MCA Kedah  perlu bekerjasma jika mahu Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi yang disandang dan merampas semula kerusi yang kalah kepada pembangkang.


Dalam hal ini saranan  Pergerakan Pemuda UMNO Kedah minta Pemuda MCA Kedah ‘tutup mulut’ terhadap isu Datuk Seri Mohamed Nazeri Aziz - Robert Kuok  dengan  memberi tumpuan kepada pilihan raya umum amat wajar.


Tindakan mereka yang menuntut Mohamed Nazeri dipecat dianggap satu tindakan yang keterlaluan dan tidak perlu terbit daripada mula Pemuda MCA.


Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pihaknya  berpendapat perkara ini tidak seharusnya dilakukan dan ianya dianggap terlalu mengikut perasaan dan emosional  selain boleh menjejaskan hubungan dalam menghadapi PRU14.


“Pemuda UMNO Kedah memahami akan sensitiviti tertentu masyarakat Cina namun yakin ianya boleh dilakukan dengan cara dan penyelesaian tertutup dan bukannya terbuka.


“Pemuda UMNO Kedah ingin memberi cadangan supaya sebarang ketidakpuasan hati seharusnya disalurkan secara tertutup dengan menjadikan semangat setiakawan Barisan Nasional (BN) sebagai pengangan utama,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.


Ia ekoran konflik yang berlaku apabila Menteri Kebudayaan dan Pelancongan mengkritik tokoh korporat Robert Kuok baru-baru ini yang dianggapnya ‘pondan’ sekiranya benar taikun gula itu membiayai dana parti pembangkang.


Ia seterusnya menimbulkan kemarahan pimpinan MCA yang menganggap Mohamed Nazeri sepatutnya menjaga bahasa jangan menyebabkan rakan-rakan komponen BN terasa.


Namun Mohamed Nazeri membalasnya dengan mendakwa beliau tidak memerlukan kawan dari MCA bagi kawasannya di Parlimen Padang Rengas di Perak.


Semalam, sekumpulan ahli-ahli MCA mendesak Mohamed Nazri dipecat kerana dianggap membelakangkan semangat BN.


Mengulas lanjut, Shaiful Hazizy yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah menganggap cara demonstrasi oleh MCA hanya mahu meraih populariti murahan.



“Hakikatnya mereka perlu melihat kaedah dan pendekatan yg lain bagi menarik keyakinan pengundi Cina.


Pemuda UMNO Kedah melihat tindakan Pemuda MCA menaikkan sepanduk “Pecat Nazri” adalah satu kebiadapan yg tidak boleh diterima,” katanya lagi.


Pergerakan Pemuda UMNO sendiri tidak pernah bertindak luar batasan sekiranya ada mana-mana pemimpin MCA yang mengeluarkan kenyataan mempertikaikan sesuatu isu sensitif ataupun yang menyinggung perasaan orang Melayu, katanya.


Justeru, Pemuda UMNO Kedah menyarankan agar MCA meningkatkan prestasi mereka didalam pilihan raya kerana MCA memerlukan sokongan orang Melayu untuk menang PRU14 dan begitu juga UMNO memerlukan sokongan Cina terutama di pinggir bandar.


Bagi Kedah, calon MCA hanya menang dua kerusi DUN - Kulim dan Gurun pada PRU13 sementara kerusi lain termasuk Parlimen diambil oleh pembangkang.


“Kegagalan meraih sebarang kerusi Parlimen  dan beberapa DUN di Kedah tidak melayakkan mereka sama sekali menuntut  Nazri meletakkan jawatan,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com