Masyarakat Siam Kedah Beri Tepukan Gemuruh Buat Ahmad Bashah


ALOR SETAR - Masyarakat Siam di negeri ini memberikan tepukan gemuruh apabila Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan beberapa berita baik kepada mereka, khususnya berhubung Sijil Pertanian Masyarakat Siam yang dimansuhkan tempoh luputnya.

Kerajaan Negeri Kedah semalam turut bersetuju untuk memenuhi permintaan masyarakat keturunan Siam di negeri ini termasuk atas pembelian rumah di atas Tanah Rizab Melayu di Taman Sejahtera di Sik.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, meskipun taman perumahan tersebut berstatus Tanah Rizab Melayu akan tetapi dengan kuasa yang ada, kerajaan akan memberi kelonggaran syarat agar membolehkan lebih ramai masyarakat Siam memiliki rumah.

Beliau mengumumkan berita gembira itu ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Masyarakat Siam di Perkampunang Chanding di Padang Terap.
Majlis yang disempurnakan oleh Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib Tun Razak, dihadiri kira- kira 5,000 masyarakat Siam dari beberapa daerah di negeri ini.

Perkembangan lain, kerajaan negeri turut bersetuju agar masyarakat Siam hanya perlu mengemukakan satu sijil pertanian sahaja bagi setiap permohonan untuk mendapatkan tanah pertanian. 

Lantas membawa maksud hanya satu sijil permohonan saja akan dikemukakan selepas ini selain kerajaan bersetuju supaya tarikh luput bagi Sijil Pertanian Siam dihapuskan.

“Kerajaan negeri juga bersetuju supaya pesara polis dan tentera berketurunan Siam layak memohon dan memiliki sijil tersebut di mana sebelum ini mereka tidak layak berbuat demikian. Ini untuk mengenang jasa dan pengorbanan besar mereka menjaga keamanan dan keselamatan negara selama ini,”  katanya.

Berita gembira lain, Pesta Songkran yang disambut pada April setiap tahun akan dimasukkan ke dalam kalendar tahunan pelancongan negeri Kedah dan akan memberi bantuan khas untuk sambutan itu itu.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat Siam di negeri ini tidak membuat kesilapan dengan memberi undi kepada Harapan yang diterajui DAP pada PRU14 akan datang kerana ia akan merugikan masyarakat itu.

"Jangan kita lupa kuasa yang ada ditangan kita patut dipertahankan dan jangan silap pilih kerana kuasa ini nak tentukan masa depan negeri bagi lima tahun lagi. Rakyat Kedah jangan mudah terpengaruh dengan janji-janji manis pembangkang yang hanya mahu meraih undi," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com