Masyarakat Orang Asli Di Baling Mahu Pemberian BR1M Kekal


ALOR SETAR - Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh kerajaan persekutuan  disambut baik oleh masyarakat Orang Asli dan mengharapkan agar bantuan itu dapat diteruskan.

Bagi suri rumah Raminah Batan, 27, dari Perkampungan Orang Asli Ulu Legong, Baling, berkata, pemberian itu sangat dibanti-nantikan olehnya pada setiap tahun kerana ia mampu mengurangkan beban perbelanjaan keluarga.

"Siapa kata pemberian ini tidak bagus. Ia sangat membantu kami yang hidup susah dan mengharapkan pada pendapatan yang tidak seberapa.

"Dengan hasil menoreh getah sebanyak RM100 sebulan, kami amat memerlukan bantuan kewangan dan BR1M bagi menampung perbelanjaan rumah," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan BR1M 2018 di sini semalam.

Majlis penyerahan itu disampaikan Anggota Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sungai Petani, Zolkifli Salleh.

Seramai 1,132 pemohon dari Baling menerima BR1M  hari ini secara tunai.

Menurut seorang lagi penduduk masyarakat itu, Zulahsan Katim, 47, berkata beliau marah apabila ada pihak yang mahu menghapuskan pemberian BR1M.

"Kalau dia nak hapus, dia nak bagi apa pada orang macam kami," soalnya.

Sementara itu Abdul Azeez berkata mereka yang menerima BR1M itu hari ini adalah daripada kumpulan orang kurang upaya, warga emas dan tiada akaun bank.

Azeez juga turut meminta mereka yang menghadapi masalah seperti permohonan masih dalam proses agar ke pusat pungutan LHDN untuk semakan dan rayuan bermula 2 April ini.

"Semakan juga boleh dilakukan di Pejabat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen dan DUN, Pejabat Umno Bahagian dan Pejabat Daerah," katanya memetik Bernama. - Kedahnews.com 

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com