Masalah Bekalan Air Di Sik Akhirnya Selesai


ALOR SETAR - Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah berjaya menyelesaikan masalah bekalan air melalui bawah projek yang dilakukan di Kampung Rancangan Tanah Pinggir (RTP) Padang Besar Dun Jeneri.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) RTP Padang Besar, Osman Jamaludin berkata, sehingga kini hampir 95 peratus bekalan air yang melibatkan 53 rumah telah kembali pulih.

Apa yang difahamkan, punca masalah bekalan air terganggu di kawasan tersebut dipercayai disebabkan oleh kolam takungan lama yang berperanan membekalkan air kepada kolam takungan baharu berkemungkinan bocor.

“Masalah ini berpunca daripada kemarau, selain kolam takungan lama yang mungkin bocor. Namun, kedua-dua kolam takungan itu telah diselenggarakan.

“Hasil pemantauan, kita dapati hampir 53 rumah terlibat mendapat kembali bekalan air, cuma beberapa rumah di kawasan tinggi yang terjejas,” ujarnya.

Jelasnya, masalah bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya selepas tamat musim kemarau.

Difahamkannya lagi, untuk seketika ini pihaknya perlu menyalurkan air dengan mengawal tekanan air bagi membolehkan ia disalurkan kepada penduduk.

Dalam pada itu katanya, projek berkenaan juga tidak wajar dilabel sebagai gagal dan dihentam tanpa sebarang usul periksa.

“Projek ni masih dalam pemantauan kontraktor, selepas enam bulan baru ia diserahkan kepada KKLW sebelum majlis penyerahan kepada JKKK dibuat.

“Jadi bila kata projek ni gagal tak kena la, sedangkan projek ini disediakan kerajaan untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Menurutnya, tiada bayaran dikenakan melainkan yuran keahlian dan kos pemasangan serta barangan berjumlah RM85.

Katanya, kontraktor turut menyediakan penyambung paip sepanjang empat meter secara percuma kepada penduduk.

“Atas ehsan kontraktor, setiap rumah dibekalkan paip penyambung sepanjang empat meter.

“Bayaran RM85 pula merangkumi RM10 yuran dan selebihnya kos barang dan pemasangan. Tiada bayaran beratus-ratus ringgit dikenakan,” katanya - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com