Mangsa Tragedi Bilah Pisau Traktor Semakin Pulih Tetapi Masih Trauma


KUALA PILAH - Pelajar yang cedera dalam tragedi bilah pisau traktor mesin rumput di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas, 13 Februari lalu, semakin beransur pulih tetapi masih trauma.

Abdullah Hazlan, 14, yang cedera di leher dan telinga kanan, masih dalam cuti sakit sehingga keadaan kesihatan kembali pulih untuk menyambung persekolahan seperti biasa.

Bapanya, Hazlan Harun, 51, berkata Abdullah tidak lagi perlu ke Klinik Kesihatan Gemas setiap hari, cuma pergi pada tarikh ditetapkan pegawai perubatan klinik itu untuk rawatan susulan.

"Jahitan pada luka di leher serta telinga kanan sudah dibuka dan hanya perlu disapukan krim diberi oleh pihak hospital.

"Kadang-kadang, Abdullah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, untuk temu janji dengan doktor pakar.

"Sejak seminggu lalu, Abdullah juga ada mengambil ubat penenang bagi memulihkan semangat dan membina sel dalaman yang terganggu akibat kejadian itu," katanya ketika dihubungi semalam.

Selain itu, Hazlan berkata, Abdullah menjalani kaunseling oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang datang ke rumah.

Beliau berkata, mereka sekeluarga bersyukur tahap kesihatan Abdullah kian baik tetapi pihak kaunselor menyaran pergaulan dihadkan buat masa ini, termasuk dengan rakan sekolah, supaya perasaannya tidak terganggu.

"Saya dan sekeluarga turut sama-sama membantu memberi semangat kepada Abdullah bagi meningkatkan semula tahap keyakinan dirinya.

"Namun sebagai orang Islam, kita perlu ingat bahawa yang berlaku adalah ketentuan Allah dan harus reda," katanya.

Hazlan berkata, Abdullah adakala dilihat termenung sendirian, mungkin teringat tragedi yang mengorbankan seorang rakan sekolah kerana berlaku di depan matanya.

Dalam insiden pada jam 10.30 pagi di padang sekolah itu, Nur Afini Roslan, 14, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Abdullah dan seorang lagi pelajar, Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, cedera.

Keterangan gambar:

1. Kecederaan Abdullah semakin pulih.

2. Ahli keluarga turut membantu memberi semangat kepada Abdullah.

3. Luka di leher dan telinga Abdullah akibat tragedi di padang SMK Tuanku Abdul Rahman pada 13 Februari lalu.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com