Malaysia Diiktiraf Antara Negara Islam Terbaik


ALOR SETAR - Malaysia yang berada di bawa tampuk pemerintahan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dilihat sentiasa memperkasa dan memelihara agenda Islam termasuk pengajian sekolah agama dan pondok menerusi dasar dan polisi negara dalam meningkatkan martabat Islam.

Perdana Menteri berkata, pencapaian negara dalam menegakkan syiar dan syariat Islam itu diiktiraf Liga Muslim Sedunia, yang berpangkalan di Riyadh, Arab Saudi.

“Liga Muslim Sedunia iktiraf Malaysia sebagai negara Islam contoh kerana perkenalkan dasar wasatiyyah atau kesederhanaan dalam negara, yang dikatakan antara prinsip asas Islam. Ini membuktikan kita beri komitmen tinggi dalam menegakkan syiar dan syariat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program sarapan pagi bersama pelajar tahfiz di Madrasah Al-Ulum Ad-Diniah Al-Usmaniah, Pondok Tanjung Kapor, Jitra.



Turut sama hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Tambah Najib, pengiktirafan itu secara tidak langsung menepis dakwaan sesetengah pihak kononnya Malaysia bukan negara Islam dan tidak menunjukkan komitmen dalam martabatkan Islam.

“Arab Saudi turut iktiraf Malaysia antara negara Islam terbaik. Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud memilih negara kita sebagai destinasi pertama negara Islam dikunjungi di rantau ini dan ia buka lembaran baharu dalam hubungan dua hala, antaranya, Raja Salman bersetuju tambah kuota haji selain menempatkan King Salman Centre of International Peace di Malaysia,” katanya.

Liga Muslim Sedunia sebelum ini menyokong pendekatan kesederhanaan dibawa Najib bagi menghadapi keganasan dalam menjaga keamanan dan keharmonian di Malaysia.

Pada majlis itu, Najib menyerahkan cek sumbangan kepada institusi tahfiz dan pondok di Kedah, iaitu bantuan asrama kepada 25 sekolah agama rakyat dengan peruntukan RM2 juta, bantuan kepada 11 pondok (RM160,000).

Manakala RM4 juta diperuntukkan untuk baik pulih masjid dan surau di seluruh Kedah.

Kesemua peruntukan akan disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com