Mahkamah Dengar Pengurusan Kes Semakan Kehakiman PH Terhadap RoS 15 Mac


Mahkamah Tinggi membenarkan Pakatan Harapan (PH) untuk memulakan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) mendaftarkan gabungan parti itu sebagai pertubuhan berdaftar.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas bertemu peguam semua pihak di dalam kamarnya di sini, hari ini.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili PH ketika ditemui berkata, mahkamah membenarkan permohonan mereka dan menetapkan 15 Mac ini untuk pengurusan kes.

Beliau berkata, pihaknya akan memohon untuk mahkamah mendengar kes itu secepat mungkin kerana pilihan raya akan berlaku dalam masa terdekat.

Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan hadir mewakili ROS.

Pada 21 Februari lalu, PH mengemukakan permohonan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah supaya ROS menjawab permohonan mereka untuk mendaftarkan gabungan itu.

Permohonan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi melalui Tetuan Gobind Singh Deo & Co.

Dalam permohonan itu, PH menamakan Setiausaha Jawatankuasa Penaja PH, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng; Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (PAN), Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Dr Shahruddin Md Salleh sebagai pemohon.

ROS pula dinamakan sebagai responden.

Mereka memohon mendapatkan kebenaran bagi pengisytiharan tindakan ROS tidak mendaftarkan PH sebagai pertubuhan berdaftar adalah bercanggah dengan kewajipan statutori badan itu dan bercanggah dengan harapan sah mereka (pemohon).

Secara alternatif, pemohon mahukan pengisytiharan tindakan ROS tidak mendaftarkan pakatan pembangkang sebagai pertubuhan berdaftar adalah sebagai tidak munasabah dan berniat jahat.

Mereka turut menuntut pengisytiharan tindakan responden yang tidak membalas surat daripada Setiausaha Jawatankuasa Penaja pembangkang bertarikh 6 Februari lalu berhubung pendaftaran, bercanggah dengan kewajipan statutori ROS dan bercanggah dengan harapan sah pemohon.

Mereka turut memohon kebenaran perintah mandamus bagi mendesak ROS mendaftarkan pakatan itu sebagai pertubuhan berdaftar mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Sumber : BH

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com