Mahathir Kritik Pakatan Harapan Takkan Mampu Tunai Manifesto?


Tun Dr. Mahathir Mohamad akhirnya mengaku pernah memberi nasihat supaya Pakatan Harapan tidak menunaikan manifesto mereka sendiri terutama dalam isu penghapusan tol lebuh raya.

Memetik wawancara eksklusif dengan akhbar mingguan, The Sunday Times, dari Singapura, beliau mengakui bahawa "ada ketika kita tidak mungkin mampu memenuhi segala janji yang ditawarkan dalam manifestor tersebut".

"Parti kami malah rakan gabungan kami, anda tahu mereka amat berjiwa sosialistik, mereka suka memberi apa yang diminta rakyat. Saya beritahu mereka ada tidak boleh dilaksanakan termasuk mahu memansuhkan tol lebuh raya.

"Saya kata, beginilah, kita perlu selenggara jalan terbabit. Anda juga perlu bina banyak jalan raya. Dari mana dapat duit jika kamu cuba selenggara jalan ini? Namun mereka mahu populariti dan suka berjanji sesuatu," dedah beliau.

Mahathir yang bakal berusia 93 tahun itu merujuk kepada manifesto Pakatan Harapan yang dilancarkan pada 8 Mac lalu, yang antara lain menjanjikan konon penghapusan kutipan tol lebuh raya serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan yang tidak diiktiraf pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) itu turut ditanya sama ada berasa janggal berada dalam pakatan pelik berkenaan dan Pengerusi PPBM tersebut menjawab: "Ya, ia amat janggal!"

"Mereka inilah pernah gelar saya pelbagai nama buruk dan saya juga pernah kutuk mereka dengan gelaran tertentu – tetapi kini bekerja dengan saya," kata Mahathir sambil menambah, mereka sendiri yang memilihnya menjadi pemimpin.

Untuk rekod, sepanjang 22 tahun memerintah negara ini, pembangkang puluhan tahun melabel dirinya sebagai diktator, zalim, maha-Firaun dan banyak lagi, manakala Mahathir menyelar mereka sebagai rasis cauvinis anti-Melayu dan anti-Islam.

"Ia memang pelik diterima mereka, namun anda dapat lihat saya serasi dengan mereka,” kata Mahathir merujuk pemimpin PKR, Anwar Ibrahim dan keluarganya pun mengambil masa lama untuk bersetuju kerja dengan beliau.

"Ia amat susah untuk dia pada mulanya menerima saya sebagai pengerusi Pakatan Harapan, dan kemudian nama saya turut naik sebagai calon perdana menteri jika menang pilihan raya umum (PRU) ke-14 menewaskan Barisan Nasional (BN).

"Ia memakan banyak masa kepada dia untuk memutuskan namun dia kemudian sedar dan ada orang memberitahu dia bahawa tiada cara lain untuk anda letak sesiapa lagi bagi memenangi sokongan pengundi majoriti Melayu.

"Walau apapun perbezaan kami pada masa lepas, kami telah belajar untuk melupakannya meskipun ada kala ia boleh turun dan naik, tetapi secara umumnya dia menerimanya," kata Mahathir mendedah punca sebenar beliau dicalonkan sebagai Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan.

Bagaimanapun Mahathir mendedahkan bahawa cabaran terbesar beliau ketika ioni ialah untuk menjelaskan kepada ‘akar umbi’ UMNO kenapa dirinya tiba-tiba berubah buat pusingan U dengan menyertai pakatan pembangkang.

"Mereka mungkin tidak faham. Misalnya saya pernah kutuk DAP namun kini bersama DAP. Saya boleh jelaskan tetapi pengikut tegar UMNO tidak boleh terima DAP,” kata Mahathir yang menilai peluang PH masih agak samar.

Lebih mengejutkan, beliau langsung tidak senada dengan pemimpin Pakatan Harapan yang lain apabila menyifatkan hasrat parti yang diketuainya hanya sekadar 50/50 sahaja untuk berdepan PRU ke-14 nanti.

Menurut firasat Mahathir, jika Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak gagal ditewaskan pada pilihan raya kali ini, maka Pengerusi BN itu tidak mungkin dapat dikalahkan lagi selepas ini.

"Jika Najib menang, dia akan menjadi lebih kuat. Jadi inilah sahaja peluang terakhir kami untuk mengalahkannya. Jika kami kalah pada PRU ini, maka tiada lagi masa depan kepada pembangkang," kata Mahathir.

Namun begitu, taktik berkenaan sudah lama diketahui sebagai cubaan beliau untuk menakut-nakutkan pengundi daripada memberi undi kepada BN, sebaliknya bagi mendorong mereka memberi undi pada parti yang diketuainya.

Mengulas kerusi manakah akan ditandinginya, Mahathir mendakwa belum terlintas dalam fikirannya, namun beliau pernah bertanding di Kubang Pasu dan dikatakan bakal menjadi calon di Putrajaya atau Langkawi.

Lebih mengharu-birukan, Mahathir mendakwa dia tidak mungkin akan kalah bertanding pada PRU ke-14 nanti.

"Saya tidak mungkin kalah. Saya perlu pilih kerusi terbaik untuk saya menang," katanya seolah-olah "tuhan politik".

Mahathir bagaimanapun menjelaskan bahawa jika blok tersebut kalah dalam PRU pada kali ini, mereka perlu terbuka menerimanya tetapi mengeluh.

"Saya tentunya akan berasa amat sedih," menandakan beliau terlepas peluang untuk kembali berkuasa menjadi Perdana Menteri di negara ini. – Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com