‘Macam Ni Rupanya Masjid’ - Seumur Hidup Tak Pernah Masuk


“Selama ini kami tidak pernah masuk dalam masjid dan tiada pendedahan mengenai Islam.

“Selepas mendapat penerangan terperinci, ia memberikan persepsi positif kepada kami yang beragama lain mengenai Islam,” kata lelaki dikenali sebagai Young, 61.

Dia dan isterinya Sofia Low, 58, antara tetamu bukan Islam yang hadir program masjid terbuka sempena Tahun Baru Cina di Masjid Al-Fa’izin, Desa Jaya, Kepong, Kuala Lumpur, hari ini, lapor Metro

Menerusi program terbabit, dianggarkan lebih 1,500 penduduk termasuk bukan Islam hadir bagi memberikan sokongan di samping mendekatkan diri dengan institusi masjid.

Menurut Young, dia yang tinggal di kawasan berkenaan tidak mahu melepaskan peluang untuk menyertai program terbabit bagi memasuki dan melihat sendiri tempat orang Islam beribadah.

Katanya, menerusi program itu, pihak sukarelawan yang bertugas di masjid berkenaan turut memberikan pendedahan mengenai aktiviti dilakukan di masjid.

“Kami diberi pendedahan dengan jelas mengenai bagaimana orang Islam mengambil wuduk dan sembahyang, makanan halal serta ajaran diterapkan Islam.

“Menerusi pendedahan dan penerangan dilakukan, ia dapat memperbetulkan segala persepsi negatif yang wujud dalam kalangan bukan Islam selepas mendapat pelbagai informasi diperjelaskan sendiri oleh mereka yang mempunyai pengetahuan luas mengenai Islam.

“Program dilaksanakan ini sangat bermanfaat kerana dapat mengeratkan lagi hubungan antara masyarakat berbilang kaum dan agama yang terdapat di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Fa’izin, Dol Malek Kusnin, 65, berkata, program pertama kali dianjurkan itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat yang berada di kawasan berkenaan termasuk penduduk bukan Islam terutama Cina dan India.

Katanya, program dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Gombak dan beberapa badan bukan kerajaan iaitu Al Hidayah Centre Foundation, Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Interaktif Dakwah Tranning (IDT).

“Sebelum ini, pihak masjid sudah membuat lawatan muhibbah di beberapa tempat termasuk di gereja Chapel The Christ of Light dan Kuil Thirumurugan Alayam yang berdekatan dengan masjid dalam usaha mengeratkan hubungan antara masyarakat berbilang agama di kawasan Desa Jaya ini.

“Malah, kami turut mengadakan ziarah rumah ke rumah bagi mendekati penduduk tanpa mengira agama. Dari situ terdapat beberapa persoalan diajukan segelintir masyarakat bukan Islam apabila mereka tidak pernah didedahkan dengan ajaran Islam dan hanya digembar-gemburkan bahawa Islam itu tidak baik.

“Jadi, penganjuran program seperti ini dapat memperbetulkan persepsi mereka apabila orang bukan Islam dapat menjejakkan kaki ke masjid dan diberi pendedahan mengenai keindahan ajaran Islam,” katanya.

Beliau berkata, program bermula jam 8 pagi hingga 6 petang itu turut diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya Jelajah Masjid, forum makanan halal, pemeriksaan kesihatan, kitar semula dan gerai jualan.

“Dianggarkan lebih 2,000 keluarga yang tinggal di kawasan ini dengan 70 peratus adalah Cina dan selebihnya Melayu, India dan lain-lain bangsa.

“Penganjuran program ini dianggap berjaya kerana sebelum jam 2 petang lagi lebih 500 peserta bukan Islam termasuk pihak kuil dan gereja hadir memberikan sokongan.

“Justeru kami bercadang untuk menjadikan program ini sebagai aktiviti tahunan di masjid ini,” katanya.

Dol Malek turut berharap penganjuran program terbabit tidak disalahertikan orang ramai terutama bukan Islam kerana ia bukanlah untuk mengislamkan individu yang menyertai program berkenaan, lapor Metro

Beliau berkata, sebaliknya program seperti itu dapat memberi kefahaman kepada individu bukan Islam untuk memahami Islam dan mereka boleh menghormati agama masing-masing.

Sumber -SuaraTV

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com