“Maafkan Kami” – Staf AirAsia Kempen Cium Dan Sayang Beg


SEJAK semalam, beberapa keping gambar menunjukkan kakitangan AirAsia pamerkan rasa sayang kepada bagasi-bagasi penumpang dengan memeluk dan menciumnya tular di laman sosial Facebook.

Menerusi perkongsian daripada pengguna Facebook, Mohd Amir Izzat, dia memuat naik sekurang-kurangnya 20 gambar pengendali bagasi syarikat penerbangan itu yang mencium bagasi penumpang sambil mempamerkan senyuman


“Wahai beg, tidak kira berapa berat pun kamu, kita akan uruskan dengan ciuman dan perlindungan. Sayang kamu beg,” tulis Amir yang turut dipercayai merupakan salah seorang petugas pengendali bagasi.

Aksi lucu itu dipercayai susulan insiden syarikat penerbangan tambang rendah terbabit yang baru-baru ini dikritik selepas tular video mengenai pekerja di bahagian berkenaan mencampakkan basikal milik penumpang.


Menerusi catatan tersebut juga, dia mengemukakan permohonan maaf bagi mewakili kakitangan-kakitangan yang mengendalikan bagasi susulan insiden sebelum ini, dan berharap pelanggan akan terus menyokong AirAsia.

Status tersebut, yang turut menggunakan hashtag #kissthebag #wearetogetherwithyoutony dan #kamiinsanbiasayangpunyaikelemahan telah mendapat perkongsian lebih 9,600 pengguna Facebook dan rata-ratanya terhibur dengan sikap kakitangan berkenaan yang menerima teguran dan menjadikan ia dalam bentuk jenaka.


Bagaimanapun, ada segelintir netizen berharap ia tidak hanya ‘drama’ dan apa yang lebih penting adalah insiden yang sama tidak berulang pada masa depan.


Apa pun ‘kempen’ kiss the bag yang dilancarkan petugas bagasi AirAsia ini setidaknya membuka mata netizen tentang keprihatinan mereka dalam mengurus bagasi penumpang. Semoga kejadian bagasi rosak dan sebagainya ini tidak akan berulang lagi. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com