Maaf, Saya Salah Guna Kata Tahlil: Michael Ang


BERIKUTAN kenyataannya  yang didakwa telah mempersendakan Islam menerusi video yang tular  beberapa hari lalu, pengarah Michael Ang tampil membuat permohonan maaf.

Menurut Michael, dia langsung tidak berniat untuk mempersendakan Islam menerusi video tersebut, tetapi mengakui tersalah menggunakan ayat sehingga menimbulkan kemarahan banyak pihak dan dikecam netizen.

Menyedari kesilapannya itu, pengarah Suri Hati Mr Pilot ini telah membuat naik video memohon maaf di laman Instagram semalam.

“Hai semua, saya buat video ini sebab nak minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kenyataan saya pasal Zouk tu.


“Mungkin saya tersalah guna bahasa. Jadi saya nak minta maaf tulus dari lubuk hati saya. Maksud sebenar yang saya nak cakap adalah tempat itu merupakan tempat acara, jadi apa-apa acara yang kamu semua nak buat, pihak tersebut akan sewakan saja. Itu saja maksud saya.

“Tapi saya salah guna ayat kata tahlil. Mungkin saya patut guna perkataan bersanding ker, bertunang ker, hari jadi atau apa sajalah.

“Jadi saya minta maaf dan berharap kamu semua memaafkan saya. Lagikan Tuhan ampunkan hambanya, takkanlah kamu semua tak boleh maafkan saya,” luahnya menerusi video tersebut.

Dalam masa yang saya, Michael juga memohon agar netizen berhenti mengecamnya.

“Saya dah minta maaf pada kamu semua, jadi tak payahlah nak kutuk-kutuk saya lagi di Instagram. OK, peace love you all,” akhirinya.

Bagaimanapun beberapa jam tadi, Michael sekali memuat naik status berhubung perkara yang sama di IG peribadinya.

Ia berikutan masih ada netizen yang terus mengecam dan mempertikaikan permohonan maaf yang dibuatnya itu.

“Apa yang berlaku, saya ambil sebagai satu ujian untuk saya atas keterlanjuran kata-kata saya. Pada yang memberikan komen yang saya padam, yang berbahasa kasar dan menghina, saya maafkan!

“Orang macam ini yang saya maksudkan yang ‘alim’ sangat tu. Kalau alim betul, takkan keluar kata-kata kesat walaupun ingin marah dan tegur.

“Sekali lagi saya minta maaf. Tak terdetik pun di hati saya untuk menghina sesiapa. Masih tak percaya, terpulanglah!”katanya.

Isu ini mula timbul selepas Michael memuat naik video komen berkaitan kontroversi pelancaran koleksi tudung  Neelofa di sebuah pusat hiburan, baru-baru ini.

Menerusi komen tersebut, Michael dengan sinis mendakwa, mungkin tiada masalah jika dia mahu sewa pusat hiburan itu untuk mengadakan majlis tahlil selepas ini.

Sumber: Sinar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com