'Lubang Kubur Dah Siap, Giliran Saya Temui Ajal'


AYER KEROH - "Lubang kubur dah siap, mereka minta saya solat taubat. Mereka juga minta saya mohon maaf kepada ibu bapa sebelum pesan kat saya selepas ini giliran saya pula menemui ajal," kata salah seorang mangsa tebusan Peristiwa Bukit Jenalik, bekas Sarjan Detektif Mohd Shah Ahmad, 66.

Mohd Shah, antara enam penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara oleh Kerajaan Negeri ketika Perhimpunan Bulanan anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka, di Dewan Seri Negeri, di sini, tadi.

Mohd Shah berkata, peristiwa hitam itu tidak akan dilupakan ketika berkhidmat di Cawangan Khas Kuala Kangsar pada Julai 2000, sehinggakan insiden itu turut meragut nyawa rakan-rakan seperjuangannya termasuk dua anggota polis dan seorang penduduk kampung.

Menurutnya, walaupun saat itu nyawanya ibarat dihujung tanduk, namun dia sentiasa berdoa ALLAH SWT melindungi dirinya yang dikelilingi 29 ahli berpakaian celoreng tentera dan menggelarkan diri mereka sebagai Al Maunah.

"Kami diseksa dan dianiaya sehingga diikat di pokok sebelum dua lagi anggota yang turut menjadi tebusan terkorban.

"Apa yang saya terima hari ini, membuatkan saya terharu kerana masih lagi ada yang menghargai jasa saya selama 37 tahun berkhidmat sebagai anggota polis," katanya.

Hadir menyampaikan pingat dan sijil, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Selain itu, seramai enam anggota polis lain turut menerima pingat berkenaan termasuk Ketua Cawangan Khas Melaka, Asisten Komisioner (ACP) Borhan Daud dan Asisten Superintendan (ASP), Mohd Zahir Muhammad@Mamat.

Sumber: Sinar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com