LTdL 2018: Wang Kemenangan Dibayar Tepat Pada Masa


SHAH ALAM - Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018, Ciclista Sports Sdn Bhd memberi jaminan wang kemenangan pada kejohanan berbasikal berprestij Asia itu akan diberikan mengikut tempoh ditetapkan kepada pemenang.

Ketua Pegawai Eksekutif Ciclista Sports, M. Kumaresan berkata pihaknya memberi jaminan masalah pembayaran lewat kepada pemenang sebagaimana berlaku pada beberapa edisi terdahulu tidak akan berulang memandangkan penganjur sudah menyediakan wang tunai keseluruhan hampir RM1 juta pada kali ini.

"Setakat ini, persiapan kita hampir 90 peratus termasuk wang kemenangan kepada pemenang dan paling penting bagi kita adalah memastikan kejohanan kali ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah," katanya.

Kumaresan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang media pengumuman penajaan LTdL 2018 daripada beberapa syarikat swasta, selain kerajaan Terengganu yang menyumbang wang tunai RM200,000.Penaja lain yang turut memberi sumbangan adalah NUR Power, Spritzer, Thule dan Givi Asia.

Mengulas lanjut, Kumaresan memaklumkan pihaknya menerima geran RM12 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan, di samping tajaan daripada pihak swasta untuk edisi ke-23 perlumbaan berbasikal terulung Asia itu yang bakal berlangsung dari 18 hingga 25 Mac.

Katanya kesemua 21 pasukan akan terlibat dengan majlis pengenalan pasukan pada 16 Mac di Pulau Langkawi kecuali pasukan benua dari China, Mitchelton - BikeExchange yang terus menyertai peringkat pertama sejauh 147.9km dari  Kangar ke Kulim berikutan pasukan berkenaan terlibat dengan  Jelajah Taiwan berakhir pada 15 Mac.

Mengenai soal keselamatan, Kumaresan yang juga bekas pelumba kebangsaan menjelaskan 1,500 anggota keselamatan termasuk 200 marshal bermotosikal dan polis akan terlibat pada edisi kali ini.

Beliau pada masa sama turut menjelaskan laluan perlumbaan masih kekal kecuali peringkat kelima dari Bentong ke Cameron Highlands sejauh 169.4km yang dijangka dilencongkan ke laluan lebih jauh susulan keadaan jalan tidak baik di Sungai Koyan, Raub.

Sejumlah 22 pasukan berstatus Jelajah Profesional Dunia, profesional benua, benua dan pasukan kebangsaan mengesahkan penyertaan pada edis kali ini, meliputi jarak keseluruhan perlumbaan 1,341km, membabitkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia.

Saingan LTdL 2018 akan hanya menampilkan dua pasukan Jelajah Profesional Dunia - Dimension Data dan Astana.

Selain itu, beberapa pasukan profesional benua yang mengesahkan penyertaan kali ini termasuk Androni Giocattoli-Sidermec, Bardiani CSF, Manzana Postobon, Wilier Triestina dan Bennelong Swisswellness Cycling.- Bernama


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com