Lembu Sesat Lintas Jalan ‘Melayang’ Dirempuh


RAKAMAN video seekor lembu sesat yang berlari laju tanpa tujuan melintasi sebatang jalan raya dipercayai berhampiran Felda Adela, Kota Tinggi, Johor menerima pelbagai reaksi netizen.

Lebih menyayat hati pengguna media sosial tempatan apabila lembu berkenaan bukan sahaja dirempuh oleh sebuah kereta, bahkan turut melayang tinggi ke udara akibat mendapat hentakan yang kuat daripada kenderaan tersebut.

Melalui video kamera kereta dikongsikan oleh Syam Ghaziah itu, ramai netizen berpendapat jika lembu tersebut ada pemilik yang bertanggungjawab, individu berkenaan perlu ‘memikul’ kematian atas kemalangan yang berlaku.

Seorang pengguna Facebook yang hanya mahu dikenali sebagai Muhamad Shahaizan Shaharudin menyatakan bahawa dia juga pernah mengalami insiden buruk yang lebih kurang sama ceritanya.

“Saya pernah juga hampir nyaris hendak terlanggar dengan haiwan tersebut. Sudahlah saya kini menunggang motosikal. Tidak dapat bayangkan kalau saya terlanggar lembu itu sampai mati.

“Pengembala lembu itu pula boleh sengaja membiarkan tiga hingga empat ekor lembunya bebas berada di tepi jalan utama,” ujarnya menerusi satu status yang dimuat naik dipetik akhbar tempatan.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook, Hafidz Idrus bersetuju bahawa peristiwa sedemikian selalu dirisaukan sekiranya memandu di kawasan yang banyak haiwan ternakan penduduk yang terlepas.

“Apa yang teruk kereta kita sendiri pula jadi mangsa. Elok rasanya jika dapat langgar tuan lembu ini sekali,” ujarnya dengan nada kesal tetapi dalam nada berseloroh. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com