Lelaki Pun Dilindungi Akta Gangguan Seksual


AKTA Gangguan Seksual yang cuba diwujudkan turut membabitkan lelaki meskipun istilah gangguan seksual itu lebih menjurus kepada wanita yang menjadi mangsa.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Suriani Ahmad berkata, definisi gangguan seksual itu perlu jelas dan dimasukkan dalam akta terbabit serta diterangkan kepada umum agar ia tidak kelihatan berat sebelah.

Katanya, akta berkenaan yang kini di peringkat perbincangan bersama pemegang taruh, bertujuan melindungi mangsa secara inklusif.

“Buat masa ini, kita cuma ada satu garis panduan gangguan seksual dan ia terhad di sektor awam.

“Melalui garis panduan sedia ada, jika terjadi sebarang salah laku gangguan seksual, kita tiada akta untuk dirujuk bagi mendapatkan keadilan kepada mangsa.

“Kita kini berada di peringkat memperkemaskan kertas kerja Akta Gangguan Seksual terbabit dan sejurus siap ia akan dirujuk kepada Peguam Negara sebelum dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan. Ia dijangka dibahas selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Tahun Memperkasa Wanita 2018 peringkat Perlis di Dewan Warisan di Kangar, pada Selasa.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim mencadangkan agar diwujudkan Akta Gangguan Seksual bagi melindungi mangsa gangguan seksual.

Bagaimanapun ia masih di peringkat perbincangan dan fokus utamanya adalah bagi melindungi mangsa gangguan seksual terutamanya wanita.

Pada majlis berkenaan, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenaan melancarkan majlis berkenaan.

Turut berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Datuk Yatimah Sarjiman, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan isteri, Datin Seri Nor Aswana Omar.

Terdahulu, satu majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Jabatan Pembangunan Wanita Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Negeri Perlis (MAIPs) bagi mewujudkan kursus insentif membantu wanita asnaf yang terdiri daripada ibu tunggal dan miskin di negeri ini.

Pada majlis berkenaan, MAIPs diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazim Mohd Noor manakala Pengarah JPW Perlis, Shuhada Sabidin menukar memorandum antara kedua pihak dengan disaksikan Raja Muda Perlis.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com