Lelaki Maut Digantung Di Bilik Air Hotel Di Sungai Petani


ALOR SETAR - Seorang lelaki ditemui mati di sebuah hotel bajet di Taman Bandar Baru, Jalan Cinta Sayang, Sungai Petani, malam tadi, dipercayai digantung dua rakannya.

Mangsa yang berumur 53 tahun berasal dari Kajang, Selangor itu ditemui tergantung dengan seutas kabel di dalam bilik air oleh penjaga hotel yang bergegas ke sebuah bilik di tingkat dua selepas terdengar pergaduhan pada kira-kira jam 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid, berkata, mangsa tiba di hotel itu pada jam 6 petang bersama dua rakan dan mendaftar masuk ke sebuah bilik di tingkat dua.

Bagaimanapun, katanya, kira-kira jam 8.30 malam, penjaga hotel itu mendengar suara seperti pergaduhan dari dalam bilik terbabit.

Beliau berkata, tidak lama kemudian dua rakan mangsa tergesa-gesa keluar dari bilik itu dan terus menghilangkan diri.

"Penjaga hotel curiga dengan gelagat dua lelaki berkenaan dan terus memeriksa bilik sebelum mendapati pintu terbuka serta terkejut apabila melihat mangsa tergantung di dalam bilik air dengan wayar elektrik.

"Penjaga itu kemudian cuba membantu dengan menurunkan mangsa yang ketika itu masih bernyawa sebelum menghubungi hospital dan polis.

"Namun, mangsa disahkan mati oleh pegawai perubatan yang tiba kemudian," katanya memetik BH Online.

Tambah Saifi, pemeriksaan awal menunjukkan ada kesan luka pada dahi dan calar di bahagian badan serta lebam akibat jerutan pada leher mangsa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai digantung menggunakan wayar elektrik oleh dua rakannya dan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, kedua-dua suspek didapati bergegas meninggalkan hotel selepas kejadian itu.

"Polis sudah mengenal pasti kedua-dua rakan mangsa dan yakin mereka dapat ditahan dalam masa terdekat. Motif pembunuhan masih dalam siasatan.

"Mayat mangsa dihantar ke Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," ujarnya.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com