Lelaki Dari Pendang Disyaki Cuba Jual Dadah Ditahan Kali Ke 4


PENDANG - Seorang lelaki berusia 31 tahun yang pernah ditahan tiga kali atas kesalahan dadah, sekali lagi diberkas kerana disyaki cuba menjual bahan larangan itu di Kampung Sawa Besar di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim, berkata suspek ditahan di hadapan sebuah rumah tidak bernombor pada jam 6 petang dipercayai sedang menunggu pelanggan.

Beliau berkata, anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang yang memeriksa lelaki itu menemui dadah jenis heroin dan syabu bernilai lebih RM2,000.

"Hasil pemeriksaan ke atas beg kecil diselitkan pada pinggang sebelah kanan suspek, polis menemui empat peket plastik lutsinar dan empat keratan straw lutsinar panjang berisi serbuk ketulan putih disyaki heroin dengan anggaran berat 70.30 gram (g).

"Selain itu, anggota kami menemui satu peket lutsinar berisi serbuk hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 1.13g," katanya.

Fadzil berkata, heroin yang dirampas dianggarkan bernilai RM2,000, manakala syabu pula dianggarkan bernilai RM150.


Katanya, hasil ujian awal saringan air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

"Suspek yang juga penduduk tempatan di kampung itu memiliki tiga rekod kes lampau berkaitan dadah.

"Dia sebelum ini pernah ditahan mengikut Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com