Larangan Dedah Tatu Punca Pasukan China Tewas?


SETELAH ditewaskan dengan jumlah jaringan yang besar dalam dua perlawanan terbaharu, penyokong bola sepak China meletakkan badan induk bola sebak negara berkenaan, Persatuan Bola Sepak China (CFA) sebagai punca pasukan negara mereka gagal.

Lebih menarik, mereka bukannya marah dengan cara CFA menguruskan pasukan kebangsaan, sebaliknya berang dengan tindakan badan induk itu melarang pemain-pemain mereka mendedahkan tatu di anggota badan.

Dua kekalahan besar, masing-masing dengan jaringan 0-6 kepada Wales, dan 1-4 ke atas Republik Czech, menyaksikan ramai pemain China mengenakan pembalut untuk menyembunyikan tatu masing-masing.


Lapor media tempatan negara tembok besar itu, CFA melarang para pemain mempamerkan tatu mereka ketika bermain untuk pasukan kebangsaan yang dikendalikan pengurus legenda Itali, Marcelo Lippi.

Berita berkenaan dikuatkan lagi apabila tonggak pertahanan, Zhang Linpeng yang memiliki ukiran tatu paling ketara dalam pasukan, tidak diturunkan pada perlawanan menentang dua negara Eropah tersebut.

CFA menerusi kenyataan rasminya berkata bahawa Zhang tidak dimainkan kerana masalah kecederaan, namun alasan itu tidak diterima segelintir penyokong China yang merasakan dia tidak dibenarkan bermain kerana memiliki tatu di bahagian leher dan lengan yang sukar disembunyikan.


Sebelum ini, pemain bola sepak China yang mempunyai ukiran tatu jarang ditemui, tetapi trend itu mula menjadi ikutan para pemain kebelakangan ini yang sekaligus mendapat perhatian pihak kerajaan negara itu.

Memandangkan China merupakan sebuah negara komunis yang mementingkan nilai dan moral di kalangan rakyatnya, amalan bertatu ini dilihat kerajaan sebagai bertentangan dengan dasar negara itu.

Dalam perlawanan menentang Republik Czech Isnin lalu, pemain tengah, Cai Huikang dilihat memakai jersi berlengan panjang bagi menutup tatu yang dimilikinya, selain rakan sepasukan, Wei Shihao menggunakan pembalut bagi melitupi tatu di lengan kirinya.


Bagaimanapun, tiada arahan rasmi dikeluarkan pihak CFA bagi menguatkuasakan larangan mendedahkan tatu ini, namun media tempatan mendedahkan pihak kerajaan bercadang untuk mengambil tindakan yang lebih meluas tidak lama lagi.

Ia akan menjadi satu pergerakan yang lebih meluas untuk mengekang atlet-atlet China yang mempunyai tatu.

Jika peraturan ini ditetapkan kerajaan negara itu kelak, atlet sukan lain yang pastinya akan turut terkesan tentunya adalah pemain badminton ternama, Lin Dan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com