Lapor SPRM Jika Suami Terlibat Rasuah


KOTA BHARU - Isteri mampu menyelamatkan suami daripada api neraka apabila menjadi individu pertama melaporkan salah laku kiranya pasangan mereka itu terbabit dengan jenayah rasuah.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, Datuk Moh Samsudin Yusof berkata, isteri adalah orang pertama yang dapat mengesan perubahan perlakuan suami yang terbabit dengan gejala itu.

"Perubahan berlaku dalam gaya hidup suami dan keluarga apabila berbelanja mewah di luar kemampuan sebenar.

"Isteri sebagai ahli dalam keluarga dan paling rapat dengan suami, mereka boleh mainkan peranan sebagai penasihat dan melaporkan kesalahan itu kepada SPRM," katanya.

Beliau berkata, pengadu tidak perlu takut kerana mereka dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

"Segala maklumat berhubung pengadu akan dirahsiakan daripada pengetahuan semua pihak termasuk yang diadu.

"Jadi tidak perlu takut, tetapi bantu ingatkan suami, keluarga dan rakan-rakan kita balik ke pangkal jalan. Selamatkan mereka dari api neraka," katanya. 

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com