Kulim Bakal Jadi Tumpuan Pelabur Asing


ALOR SETAR - Daerah Kulim dijangkan bakal berkembang pesat dan muncul sebagai Bandaraya Tekno Eko Pintar melalui pembangunan seimbang yang bersepadu menjelang 2035.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, Pembangunan Kedah 2035 telah mengenal pasti kawasan Taman Hi-Tech sebagai lokasi tarikan pelabur asing.

Diyakini mampu menjadi pengukuh kepada hubungan antarabangsa terutamanya dalam kelompok industri berteknologi tinggi.

“Kawasan Taman Hi-Tech Kulim ini berperanan sebagai pembangunan ekonomi di peringkat Kedah, ia dibangunkan berkonsepkan komprehensif dan serba lengkap dengan urus tadbir tempatan berautonomi.

“Semua cadangan yang terkandung dalam Rancangan Tempatan Daerah Kulim 2035 (penggantian) adalah selaras dengan dasar dinyatakan dalam Rancangan Struktur Negeri Kedah 2035,” katanya.

Tambahnya, bagi merealisasikan matlamat pembangunan tersebut lima teras utama difokuskan termasuk ekonomi berdaya tahan dan saing, komuniti sejahtera dan inklusif, persekitaran mampan dan kondusif, perancangan infrastruktur dan urus tadbir efektif.

“Dengan strategi yang akan digunakan, kerajaan negeri amat yakin dengan setiap cadangan yang ada, pembangunan di sini sebagai hab industri utama Kedah dapat dijayakan.

“Saya juga yakin penyediaan rancangan tempatan di sini mengambil kira keseluruhan sektor yang terlibat seperti aspek pengangkutan, infrastruktur utiliti, kemampanan alam sekitar, pembangunan sosial serta pembangunan luar bandar,”katanya.

Ujarnya lagi, satu sistem pemantauan yang berkesan akan menjadi pengukuh kepada semua rancangan pemajuan termasuk rancangan tempatan di sini selain akan diperhatikan kerajaan negeri.

“Rancangan tempatan daerah ini telah dipamerkan kepada umum bermula 1 Mac hingga 12 April iaitu selama sebulan, dan ambillah kesempatan ini membuat cadangan,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com