KL Pertama Di Dunia Ada Hotel Jenama Monopoly


KUALA LUMPUR – Malaysia mencatat sejarah apabila menjadi negara pertama yang menempatkan hotel jenama Monopoly, di ibu negaranya.

M101 Holdings Sdn. Bhd. (M101) bersama Hasbro, syarikat permainan dan hiburan multinasional Amerika yang memiliki lesen permainan papan berkenaan, hari ini mengumumkan hotel Monopoly pertama di dunia – Monopoly Mansion by Sirocco, akan terletak di Kuala Lumpur dan dijadual dibuka pada 2019.

Hotel bertaraf lima bintang dengan 225 bilik yang menampilkan ciri khas permainan Monopoli dan suasana 1920 Gatsby, akan berada di M101 Bukit Bintang, yang setakat ini secara strukturnya telah siap.

Majlis menandatangani perjanjian pelesenan antara M101 dan Hasbro yang diadakan di RED by Sirocco Hotel di sini, disaksikan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Pengarah Urusan Hasbro untuk Asia Tenggara, Hong Kong dan Taiwan, Jenny Chew Yean Nee.

M101 diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seth Yap, manakala menandatangani bagi pihak Hasbro pula ialah Naib Presiden Kanan Produk Pengguna, Claire Gilchrist.

Nazri, dalam ucapannya, berkata perkongsian strategik M101 dengan Hasbro akan mewujudkan pengalaman gaya hidup baru untuk membantu meningkatkan industri.

“Pada masa ini, memilih sesebuah hotel bukan hanya untuk menikmati keselesaan bermalam. Generasi millennial mencari pengalaman yang tidak dapat dilupakan yang dipengaruhi oleh suasana, seni bina, pemandangan atau objek yang indah. Generasi lain juga mementingkan nilai yang tinggi dengan pengalaman hebat yang secara aktif mencarinya apabila berjalan,” katanya.

Menteri itu berkata pelancong secara purata pada 2016 tinggal lebih lama, dengan purata tempoh tinggal naik sebanyak 0.4 malam, dari 5.5 malam hingga 5.9 malam berbanding 2015.

“Hotel-hotel seperti Monopoly Mansion yang menawarkan kemudahan bertema dan lokasi strategiknya akan menggalakkan pelawat ke Malaysia bukan sahaja menambah masa tinggal mereka, tetapi untuk kembali melawat kita semula,” katanya.

Chew berkata permainan papan Monopoli, dalam 80 tahun sejarahnya, telah dimainkan oleh lebih daripada satu bilion orang di 114 negara di seluruh dunia.

“Berdasarkan kepada popularitinya yang meluas ini, kami telah memberikan pengalaman Monopoli untuk memenuhi setiap gaya hidup termasuk promosi, permainan digital, fesyen dan kini sebuah hotel butik bertaraf lima bintang.

“Kami berbangga untuk bekerjasama dengan M101 untuk membuka Monopoly Mansion by Sirocco di Kuala Lumpur dan kami teruja untuk peminat Monopoli di Malaysia dan seluruh dunia untuk mengalami jenama dengan cara yang baru,” katanya.

Sementara itu, Yap berkata sehingga kini, M101 telah melancarkan tiga projek iaitu M101 Dang Wangi yang menempatkan Red by Sirocco Hotel, M101 Skywheel dan M101 Bukit Bintang – dengan jumlah nilai pembangunan kasar sebanyak RM2.6 bilion.

Selepas dua tahun perbincangan, beliau berkata, M101 dan Hasbro akhirnya berganding bahu untuk mewujudkan hotel jenama Monopoly, kerjasama yang dihasilkan oleh kedua-dua syarikat yang mempunyai falsafah jenama yang sama.

“Kawasan Bukit Bintang telah lama menjadi tumpuan perniagaan dan hiburan di Kuala Lumpur.

“Sama seperti Monopoly, ia telah melalui pelbagai transformasi untuk mengekalkan tarikan dan seperti ‘Mr. Monopoly’, Bukit Bintang tidak pernah gagal untuk kekal menawan dan bertenaga,” katanya.

Apabila siap kelak, Monopoly Mansion akan diuruskan dan dikendalikan oleh Sirocco Group. Kumpulan yang sama juga akan menguruskan Planet Hollywood Suites, yang pertama di Asia apabila siap M101 Skywheel, pembangunan ketiga syarikat itu.

Sejajar dengan strategi hartanah pelancongannya, M101 berkata syarikat menyasar untuk mengembangkan jenama Sirocco ke fasa seterusnya dengan memperluaskan kehadiran serantaunya di Bintan and Bali, Indonesia. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com